Rabu, 10 Oktober 2018 | 9:57pm
SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran, Mohd Rizan Hassan. - Foto Nurul Shafina Jemenon
SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran, Mohd Rizan Hassan. - Foto Nurul Shafina Jemenon

KSM perlu bersiap hadapi pekerja MMC Gamuda diberhenti

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia digesa membuat persiapan bagi menghadapi kemungkinan 20,000 pekerja kehilangan pekerjaan susulan penamatan kontrak MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd (MMC Gamuda) bagi kerja bawah tanah projek Mass Transit Line 2 (MRT2).

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran, Mohd Rizan Hassan, berkata kerajaan perlu menyediakan pelan khas untuk mengatasi kesan sosial yang timbul jika pekerja terbabit diberhentikan, termasuk mekanisme bagi menghalang kemungkinan pemberhentian itu berlaku.

Beliau berkata, kerajaan perlu memikirkan kesan sosial kepada negara jika 20,000 pekerja yang bakal diberhentikan itu gagal mendapat pekerjaan lain.

Katanya, ia sudah tentu akan menyumbang kepada masalah pengangguran yang serius, seterusnya menimbulkan pelbagai gejala sosial seperti jenayah dan masalah rumah tangga.

“Oleh itu, kerajaan terutama Kementerian Sumber Manusia perlu membuat persediaan rapi bagi menghadapi masalah pemberhentian pekerja ini.

“Kenal pasti sektor yang boleh menyerap mereka atau serapkan mereka ke dalam program latihan semula. Dengan itu apabila ekonomi kembali pulih, mereka ada kemahiran untuk memasuki pasaran pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas keputusan kerajaan akan melaksanakan semula tender kerja bawah tanah projek (MRT2), bagi kerja yang belum selesai menerusi proses tender terbuka antarabangsa.

MMC Gamuda mendakwa penamatan kontrak itu akan menjejaskan lebih 20,000 tenaga kerja dan memberi kesan terhadap 600 syarikat dari rantaian sokongan yang terbabit.

MMC Gamuda adalah syarikat usaha sama 50:50 di antara Gamuda dan MMC Corporation Bhd.

Mohd Rizan berkata, kerajaan tidak sewajarnya menangani isu berkenaan secara bidan terjun atau ad-hoc, sebaliknya mengadakan mekanisme tertentu untuk membendung perkara ini atau sekurang-kurangnya menempatkan mereka yang diberhentikan itu ke sektor lain.

“Kami berpandangan kerajaan perlu menyediakan pelan untuk mengatasi masalah ini. Mereka sepatutnya sudah belajar bagaimana menangani masalah pemberhentian pekerja berikutan krisis kewangan.

“Kami berharap kerajaan juga mengenal pasti sektor yang boleh menyerap pekerja yang diberhentikan ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pertubuhan itu mahu kerajaan menangani isu yang timbul berkaitan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) meliputi aspek akses latihan, sumber dana dan pembiayaan, pengiktirafan serta kegagalan menepati kehendak industri.

“Isu ini semakin membimbangkan dan memberikan gambaran negatif kepada industri, bahkan pelabur mengenai usaha kerajaan melahirkan tenaga kerja berkemahiran untuk keperluan industri negara.

“Kerajaan perlu lebih serius menangani semua isu ini kerana ketika ini hanya tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam teknik serta aplikasi teknologi moden akan menjamin kecekapan industri bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing industri pada masa depan,” katanya.

Berita Harian X