Rabu, 26 September 2018 | 12:07pm
BENDERA dikibar separuh tiang sebagai tanda penghormatan kepada mendiang Presiden Vietnam, Tran Dai Quang. - Foto EPA

TPM beri penghormatan terakhir kepada mendiang Presiden Vietnam

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan ke Vietnam hari ini mewakili kerajaan Malaysia bagi memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Presiden Vietnam, Tran Dai Quang.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan majlis berkenaan akan berlangsung di Dewan Pengebumian Kebangsaan, Hanoi.

“Selepas itu, pengebumian negeri akan berlangsung bermula jam 3.30 petang esok di perkuburan daerah Kim Son, wilayah Ninh Binh, tempat kelahiran Presiden Quang.

“Presiden Quang meninggal dunia pada 21 September lalu pada usia 61 tahun.

“Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, dalam ucapan takziah mereka, turut menyatakan kesedihan atas kematian Presiden Quang dan menyatakan penghargaan atas sumbangan mendiang dalam meningkatkan hubungan dua hala Malaysia-Vietnam,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, kenyataan yang sama turut memaklumkan Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya, akan menandatangani Buku Takziah di Kedutaan Vietnam di Kuala Lumpur hari ini.

Berita Harian X