Selasa, 25 September 2018 | 3:38pm
GUAN Eng pada sidang media di Kementerian Kewangan, Putrajaya, hari ini. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Dana PKS BNM berbaki RM3.9 bilion

PUTRAJAYA: Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) digesa memanfaatkan Dana PKS Bank Negara Malaysia (BNM) yang masih berbaki RM3.9 bilion untuk membiayai dan mengurangkan kos perniagaan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata terdapat rungutan daripada segelintir usahawan PKS bahawa mereka sukar untuk mendapatkan pembiayaan daripada institusi perbankan, sekali gus gagal meneruskan perniagaan mereka.

"Kita terima aduan daripada pelbagai pihak yang menyatakan susah untuk PKS mendapatkan pinjaman bagi menjalankan perniagaan mereka.

"Saya banyak kali merujuk kepada BNM selain turut dibangkitkan dalam Kabinet mengapa sukar untuk usahawan PKS mendapatkan pembiayaan? Tetapi BNM menyatakan ia adalah tidak sukar dan ada pihak yang menguruskannya iaitu Penolong Gabenor.

"Mereka beritahu saya ada lebih RM3 bilion yang masih wujud untuk dipinjamkan kepada PKS, jadi tidak ada sebab mengapa susah untuk PKS dapat pinjaman.

"Di sini disyorkan sekiranya ada masalah mungkin membabitkan pelbagai faktor sama ada dari segi cagaran dan sebagainya tapi BNM sentiasa bersedia untuk bantu," katanya pada sidang media ini di sini, hari ini.

Sementara itu, Penolong Gabenor BNM, Abu Hassan Alshari Yahaya menjelaskan daripada sejumlah RM3.9 bilion Dana PKS BNM yang masih berbaki itu, RM3.3 bilion diperuntukkan untuk semua sektor ekonomi di bawah PKS; Sektor Pertanian Primer (RM97.9 juta); Perusahaan Mikro (RM6.9 juta) dan Projek Usahawan Bumiputera Fund-i (RM191.4 juta).

Berita Harian X