Isnin, 24 September 2018 | 8:49pm
MENTERI Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin semasa Sesi Town Hall membincangkan dan menangani isu " Single-Use Plastic" secara holistik di Hotel Everly Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
MENTERI Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin semasa Sesi Town Hall membincangkan dan menangani isu " Single-Use Plastic" secara holistik di Hotel Everly Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Pelan sifar plastik dilancar bulan depan

PUTRAJAYA: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) akan melancarkan pelan hala tuju sifar penggunaan plastik pakai buang 2018-2030, pada 17 Oktober depan.

Menterinya, Yeo Bee Yin, berkata pelan itu antara lain bagi menangani masalah pencemaran sisa plastik, meningkatkan kesedaran orang awam, selain mencari alternatif kepada penggunaan pelbagai produk plastik.

Katanya, pencemaran plastik bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah seluruh dunia yang mana ia turut menjejaskan hidupan laut.

“Ramai yang nak membantu kerajaan untuk mengurangkan penggunaan plastik dan kita ambil semua pandangan dalam merangka pelan hala tuju berkenaan.

“Kita berharap dapat tingkatkan kesedaran melalui program yang dilaksanakan bukan sahaja oleh kerajaan, malah dengan bantuan media serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Town Hall membincangkan isu penggunaan plastik pakai buang bersama ahli akademik, penggiat industri, NGO, pelajar dan orang awam di sini, hari ini.

Bee Yin berkata, pelan itu juga bukan mahu ‘membunuh’ industri pengeluaran produk plastik, sebaliknya untuk bersama-sama mencari jalan ke arah perubahan.

“Kita bukan nak buat larangan bermula esok, tetapi kita mahu galakkan pengeluar mencari alternatif seperti menghasilkan plastik berasaskan hidro karbon. Kita bantu mereka untuk bersedia menghadapi cabaran masa depan.

“Malah, kementerian juga mengeluarkan peruntukan untuk menjalankan penyelidikan bagi penghasilan produk mesra alam sebagai alternatif kepada plastik,” katanya.

Ditanya mengenai larangan penggunaan straw minuman di Wilayah Persekutuan pada 1 Januari 2020, beliau berkata, langkah itu bakal menjadi contoh kepada negara dalam menghentikan penggunaan straw dan plastik pakai buang lain pada masa depan.

Berita Harian X