Jumaat, 21 September 2018 | 5:53pm
DATUK Mohamad Shukri Mohamad. - Foto NSTP
DATUK Mohamad Shukri Mohamad. - Foto NSTP

Kuasa negeri pinda had usia perkahwinan

KOTA BHARU: Terserah kepada budi bicara kerajaan negeri untuk membuat pindaan bagi menaikkan had usia minimum perkahwinan kepada 18 tahun.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, berkata hanya kerajaan negeri yang berkuasa untuk membuat pindaan, sementara orang lain perlu berhati-hati untuk tidak mencampuri urusan agama di bawah kuasa negeri.

Beliau berkata, Islam membenarkan perkahwinan sekiranya seseorang itu sudah akil baligh walaupun usianya baru saja 15 tahun.

“Pada pandangan agama, seseorang yang sudah akil baligh tidak lagi ditakrifkan sebagai kanak-kanak dan dia dibolehkan untuk berkahwin.

“Namun, jika andai kata masyarakat berpendapat perlu dinaikkan umur kepada 18 tahun yang mana usia itu sudah mencapai kecerdikan, ia tetap boleh diterima pakai dalam Islam.

“Jadi, jika kita berasakan perlunya pindaan (menaikkan had umur minimum perkahwinan), syorkan kepada kerajaan negeri. Kita tiada masalah kerana kedua-dua (umur akil baligh dan had umur 18 tahun) dibenarkan oleh Islam,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang mahu menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun.

Beliau berkata kenyataannya berkaitan isu perkahwinan kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun dengan duda berumur 44 tahun di Kelantan itu dibuat berdasarkan laporan oleh Pegawai Kebajikan Masyarakat bahawa ia sudah mendapat kebenaran Mahkamah Rendah Syariah Tumpat dan sah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Mengulas lanjut, Mohamad Shukri, berkata isu perkahwinan bawah umur itu tidak boleh tertumpu kepada orang Islam saja, sebaliknya perlu melihat orang bukan Islam sama ada perkahwinan mereka di peringkat bawah umur juga atau sebaliknya.

“Jangan kata ketidakadilan hanya berlaku kepada orang Islam saja... kalau mereka di luar Islam lebih ramai kahwin di bawah umur.

“Mungkin dalam konteks Barat, had umur 18 tahun ke atas itu dianggap cukup umur, tetapi dalam Islam, apabila akil baligh, seseorang itu sudah dikira cukup umur,” katanya.

Berita Harian X