Jumaat, 21 September 2018 | 12:57am
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berucap pada Sesi Dialog Bersama Menteri di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, malam tadi. - Foto Eizairi Shamsudin
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berucap pada Sesi Dialog Bersama Menteri di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, malam tadi. - Foto Eizairi Shamsudin

Draf akta perkahwinan kanak-kanak siap akhir tahun ini

GOMBAK: Draf akta perkahwinan kanak-kanak bawah umur dijangka siap selewat-lewatnya akhir tahun ini sebelum dikemukakan kepada Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata draf akta itu adalah berasaskan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diwujudkan hasil perbincangan beliau bersama hakim syarie sebelum ini.

Beliau berkata, draf akta itu amat penting bagi menangani kes perkahwinan membabitkan kanak-kanak bawah umur pada masa depan.

"SOP itu cukup ketat berkaitan perkahwinan bawah umur 16 tahun dan perlu dipatuhi termasuk mengetahui latar belakang keluarga pengantin dan tahap kesihatannya sebelum diberi kebenaran berkahwin.

"Alhamdulillah saya tengok SOP itu bagus dan terus minta semua hakim syarie mengikutinya.

"Saya juga sudah berbincang dengan Kabinet dan selepas dirujuk dengan hakim syarie, insya-Allah hujung tahun ini kita akan lihat draf kanun undang-undang ini yang komprehensif," katanya ditemui pada Sesi Dialog Bersama Menteri di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan kerajaan berkaitan isu perkahwinan kanak-kanak bawah umur membabitkan gadis berusia 15 tahun di Tumpat, Kelantan.

Media sebelum ini melaporkan gadis itu berkahwin dengan pasangannya berusia 44 tahun selepas mendapat kebenaran Mahkamah Syariah, Julai lalu, sekali gus menjadikan kes remaja bawah umur kedua di Kelantan yang berkahwin pada tahun ini.

Mujahid berkata ketika ini, hanya Selangor dan Wilayah Persekutuan mengikut SOP yang dikeluarkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan berharap perkahwinan kanak-kanak bawah umur tidak lagi dieksploitasi oleh pihak tertentu atas dasar kemiskinan.

"Keprihatinan kita adalah tiada lagi eksploitasi perkahwinan bawah umur sama ada lelaki atau perempuan.

"Keduanya, kita tidak mahu kemiskinan dieksploitasi dan kanak-kanak itu menjadi mangsa seksual daripada satu perkahwinan yang dihormati sebagai institusi yang akan membangunkan masyarakat dan negara jika tidak ikut SOP.

" Apa yang penting kebajikan anak-anak itu, pendidikan, ekonomi dan masa depan mereka," katanya.

Dalam pada itu beliau memuji serta berharap lebih banyak program dialog seumpamanya diadakan di semua universiti bagi melahirkan penuntut yang kritis dan bijak berfikir.

Berita Harian X