KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengumumkan skim subsidi bil elektrik buat 179,000 ketua isi rumah yang berdaftar dalam sistem e-Kasih dalam masa terdekat.
Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin berkata, subsidi baharu itu membabitkan golongan sasar yang tidak berkemampuan.
"Bantuan ini dikhususkan buat mereka yang benar-benar miskin dan kita akan laksanakannya secepat mungkin.
"Perincian berhubung skim ini sedang dikemaskini dan akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Industri bekalan Elektrik (CEPSI 2018).
Bertemakan ‘Reimagining Utility of the Future’, persidangan enam hari itu dihoskan Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi pihak Persatuan Industri Bekalan Elektrik Asia Timur dan Pasifik Barat.
Dalam perkembangan lain, Bee Yin berkata, Rang Undang-Undang Kecekapan Tenaga bakal dibentangkan dalam sesi Parlimen pada pertengahan tahun hadapan.
"Rang undang-undang berkenaan akan dirangka pada pertengahan Oktober dan kita akan buat siapkan secepat mungkin untuk dibentangkan nanti," katanya.