Selasa, 18 September 2018 | 2:49pm
 PENGUNJUNG yang menghadiri CEPSI 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. - Foto Asyraf Hamzah
PENGUNJUNG yang menghadiri CEPSI 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. - Foto Asyraf Hamzah

Filipina tuan rumah CEPSI 2020

KUALA LUMPUR: Filipina diumumkan sebagai tuan rumah Persidangan Industri Bekalan Elektrik (CEPSI 2020).

Persidangan dwitahunan itu menjadi platform bagi peserta untuk bertemu, berbincang, berkongsi pengalaman dan menjana idea baharu dengan penggubal dasar, ketua-ketua industri dan pemikir berpengaruh dalam industri bekalan elektrik.

Naib Presiden Kanan Manila Electric Company (Meralco), Ronnie L Aperocho, berkata beliau teruja kerana negaranya diberi peluang menjadi hos bagi persidangan berprestij itu.

“Sejujurnya, perasaan teruja dan gementar bercampur-baur kerana banyak persediaan yang perlu dilakukan dalam tempoh tidak sampai dua tahun.

“Bagaimanapun, keyakinan kami sebagai penganjur amat tinggi malah persiapan yang akan dibuat pasti berjalan lancar dengan sokongan kukuh daripada kerajaan dan agensi berkaitan.

“Kami tidak sabar untuk mengalu-alukan kedatangan peserta ke Manila,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis EXCO CEPSI 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Ir Azman Mohd dan Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman.

Selain itu, China turut dipilih sebagai tuan rumah bagi CEPSI 2022.

CEPSI 2018 yang dihoskan TNB menjadi platform bagi penggiat industri bekalan tenaga yang ingin mengetahui amalan terbaik untuk menghadapi cabaran industri.

Peserta berpeluang bertemu dengan pemimpin pemikir peringkat antarabangsa dan tempatan yang akan membincangkan dan berkongsi pengetahuan serta pengalaman mereka berhubung transformasi industri tenaga.

Selain itu, perbincangan berhubung cabaran gangguan teknologi, peralihan ekonomi, evolusi kelestarian dan keperluan pengawalseliaan serta peningkatan jangkaan pelanggan turut dibincangkan oleh tokoh terkemuka bermula hari ini sehingga 22 September.

Berita Harian X