Rabu, 12 September 2018 | 9:52pm
PAKAR Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz. - Foto Muhd Asyraf Sawal
PAKAR Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Akta Antiberita Tidak Benar masih terpakai, sah

KUALA LUMPUR: Akta Antiberita Tidak Benar 2018 ketika ini masih terpakai untuk sebarang kes pendakwaan dan saman di mahkamah susulan keputusan Dewan Negara menolak pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) bagi memansuhkan akta berkenaan.

Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz, menjelaskan RUU Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 sebelum ini dibentang dan diluluskan secara sebulat suara di Dewan Rakyat, namun ia tidak bermakna akta asal terbatal secara serta-merta.

Beliau berkata, sebaliknya langkah pemansuhan akta terbabit hanya sah dan boleh berkuat kuasa sekiranya melepasi penelitian Dewan Negara, selain mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

“Ia (Akta Antiberita Tidak Benar 2018) masih terpakai kerana RUU pemansuhan perundangan itu hanya sah apabila diwarta dan dikuatkuasa selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Oleh itu, mana-mana kes saman menggunakan akta itu atau sebarang pertuduhan ketika ini masih sah,” katanya ketika dihubungi NSTP, semalam.

Beliau mengulas keputusan persidangan Dewan Negara hari ini, menolak RUU Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 selepas undi belah bahagian menyaksikan 28 anggota dewan membantah langkah pemansuhan akta itu, berbanding 21 yang menyokong, manakala tiga lagi memilih untuk tidak mengundi.

Usul undi belah bahagian dikemukakan Senator Khairul Azwan Harun sebaik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin, selesai menggulung RUU berkenaan untuk bacaan kali kedua.

Mengikut Peraturan 45 (4), Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri SA Vigneswaran kemudian mengarahkan loceng dibunyikan selama dua minit bagi membolehkan proses undi belah bahagian dijalankan.

RUU itu yang bertujuan memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 diluluskan di Dewan Rakyat pada 16 Ogos 2018 selepas bacaan kali ketiga.

Mengulas lanjut, Shamrahayu berkata, Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 hanya boleh dibentangkan semula untuk dibahaskan di Dewan Rakyat selepas tempoh moratorium selama setahun selaras Perkara 68(2)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menyifatkan, keputusan yang dicapai pada persidangan Dewan Negara hari ini membuktikan wujud peruntukan dalam akta berkenaan yang mungkin bermanfaat dan bertepatan dengan keperluan serta perkembangan semasa.

Sehubungan itu, katanya, tempoh ‘bertenang’ selama setahun yang diperuntukkan menerusi Perlembagaan Persekutuan sebelum kerajaan boleh membentangkan semula RUU terbabit harus dimanfaatkan, khususnya dalam meneliti kandungan akta bagi mengekang penularan berita tidak benar.

“Dewan Negara berhak untuk tidak meluluskan apa juga RUU diluluskan Dewan rakyat, justeru ini kali pertama ia berlaku dalam sejarah yang menyaksikan satu daripada dua Majlis Parlimen dikehendaki menilai semula pindaan undang-undang (RUU Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018).

“Diharapkan justifikasi keputusan Dewan Negara untuk menolak langkah pemansuhan akta ini bukan bermotifkan politik, sebaliknya menyentuh kepentingan keadaan semasa yang menyaksikan penularan kenyataan berbaur fitnah, sekali gus menuntut keperluan peruntukan akta bersesuaian bagi menanganinya.

“Bagaimanapun, kerajaan hanya boleh membentangkan semula RUU Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 selepas setahun kerana pindaan ini tidak membabitkan sebarang aspek kewangan negara,” katanya.

fakta:

*Pecahan Ahli Dewan Negara mengikut ideologi parti

BN - 45 orang

PH - 20 orang

PAS - 3 orang

Berita Harian X