Rabu, 12 September 2018 | 3:42pm
PAKAR Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz. - Foto Salhani Ibrahim
PAKAR Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz. - Foto Salhani Ibrahim

Kena tunggu setahun untuk bentang semula

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 hanya boleh dibentangkan semula untuk dibahaskan di Dewan Rakyat selepas tempoh moratorium selama setahun selaras Perkara 68(2)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz, menyifatkan keputusan yang dicapai pada persidangan Dewan Negara, hari ini membuktikan wujud peruntukan dalam akta berkenaan yang mungkin bermanfaat dan bertepatan dengan keperluan serta perkembangan semasa.

Sehubungan itu, katanya, tempoh ‘bertenang’ selama setahun yang diperuntukkan menerusi Perlembagaan Persekutuan sebelum kerajaan boleh membentangkan semula RUU terbabit harus dimanfaatkan, khususnya dalam meneliti kandungan akta bagi mengekang penularan berita tidak benar.

“Dewan Negara berhak untuk tidak meluluskan apa juga RUU diluluskan Dewan rakyat, justeru ini kali pertama ia berlaku dalam sejarah yang menyaksikan satu daripada dua Majlis Parlimen dikehendaki menilai semula pindaan undang-undang (RUU Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018).

“Bagaimanapun, kerajaan hanya boleh membentangkan semula RUU Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 selepas setahun kerana pindaan ini tidak membabitkan sebarang aspek kewangan negara,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Persidangan Dewan Negara hari ini menolak RUU Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 selepas undi belah bahagian menyaksikan 28 anggota dewan menolak langkah pemansuhan akta itu, berbanding 21 yang menyokong, manakala tiga lagi memilih untuk tidak mengundi.

Usul undi belah bahagian dikemukakan Senator Khairul Azwan Harun sebaik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin, selesai menggulung RUU berkenaan untuk bacaan kali kedua.

Mengikut Peraturan 45 (4), Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri SA Vigneswaran kemudian mengarahkan loceng dibunyikan selama dua minit bagi membolehkan proses undi belah bahagian dijalankan.

RUU itu yang bertujuan memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 diluluskan di Dewan Rakyat pada 16 Ogos 2018 selepas bacaan kali ketiga.

Susulan perkembangan itu, Shamrahayu berkata, Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang diluluskan Parlimen pada sidang terdahulu kini masih terpakai, justeru sebarang pendakwaan mengikut peruntukan undang-undang berkenaan boleh digunakan.

“Ia (Akta Antiberita Tidak Benar 2018) masih terpakai kerana RUU pemansuhan perundangan itu hanya sah apabila diwarta dan dikuatkuasakan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

“Oleh itu, mana-mana kes saman menggunakan akta itu atau sebarang pertuduhan ketika ini masih sah,” katanya.

Berita Harian X