Rabu, 5 September 2018 | 7:42pm
DR Maszlee Malik. - Foto NSTP
DR Maszlee Malik. - Foto NSTP

Sultan Ahmad Shah perkenan pelantikan Maszlee

KUALA LUMPUR: Pelantikan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ketujuh mendapat perkenan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selaku Ketua Perlembagaan universiti itu.

Pejabat Komunikasi Korporat UIAM, berkata Maszlee yang berlatar belakangkan bekas pensyarah dan berpengalaman luas berhubung persekitaran universiti itu termasuk pernah mengetuai Persatuan Staf Akademik UIAM dalam memperjuangkan hak dan menjamin kebajikan pensyarah, disifatkan sebagai calon ideal.

Katanya, UIAM beruntung mendapat Menteri Pendidikan sebagai presiden kerana struktur pentadbiran UIAM berbeza berbanding universiti lain di negara ini.

“Meskipun sibuk dengan mandat sebagai Menteri Pendidikan, beliau bersedia memegang jawatan Presiden UIAM pada masa sama menzahirkan komitmen tidak akan menerima sebarang bayaran sepanjang tempoh memegang jawatan,” katanya dalam kenyataan rasmi di sini hari ini.

Pelantikan Maszlee turut didukung Rektor UIAM, Prof Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak yang menekankan kepentingan dalam menegakkan autonomi universiti supaya dapat mewujudkan ekosistem pengajaran dan pembelajaran yang mampu menghasilkan graduan holistik.

Tempoh lantikan untuk tiga tahun itu membolehkan Maszlee memberi khidmat nasihat dalam pembangunan UIAM ke arah mewujudkan satu taman ilmu yang dihormati oleh masyarakat dalam dan luar negara.

“Ia sejajar dengan kehendak pemegang taruh UIAM terdiri daripada ahli negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), khususnya dan negara lain amnya,” katanya.

Kenyataan itu turut menyebut, Jawatankuasa Pengurusan Universiti (UMC), kakitangan akademik dan pentadbiran serta pelajar UIAM mengucapkan tahniah atas pelantikan itu.

Ia turut merakam penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Dr Rais Yatim atas sumbangan dan jasa sepanjang menerajui UIAM sebagai presiden sebelum ini.

Lantikan Maszlee diumumkan menerusi Facebook Kesatuan Kakitangan Akademik (ASA) universiti berkenaan semalam.

ASA menerusi kenyataan dalam laman sosial itu dilaporkan berkata pihaknya mengharapkan kejayaan yang lebih besar dan gemilang di bawah kepemimpinan Maszlee.

Bagaimanapun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku dari DAP, Lim Yi Wei menggesa Maszlee melepaskan jawatan berkenaan berikutan jawatan tertinggi universiti itu jelas mewujudkan konflik kepentingan.

Berita Harian X