Sabtu, 1 September 2018 | 2:28pm
MENTERI Tenaga Sains, Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin (kiri) ditemui penduduk selepas Sesi Town Hall Bersama Penduduk Kawasan Johan Setia Mengenai Kejadian Pembakaran Terbuka dan Kejadian Jerebu di Johan Setia di Botanic Resort Club, Klang. - Foto Faiz Anuar.

SOP baharu tangani pembakaran terbuka

KLANG: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan merangka prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi menangani masalah pembakaran terbuka di seluruh negara.

Menterinya, Yeo Bee Yin, berkata kawasan di Kampung Johan Setia di sini, yang menghadapi masalah itu sejak lebih 10 tahun lalu akan dijadikan projek perintis ke arah perangkaan SOP berkenaan yang dijangka mengambil masa dua minggu hingga sebulan untuk disiapkan.

“Dua perkara utama yang akan diberi perhatian ialah penyebab kebakaran dan tindakan yang diambil oleh agensi berkaitan bagi menangani isu terbabit.

“Permasalahan berlaku sebelum ini akibat tiada penyelarasan antara agensi berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Tanah Daerah serta Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) mengenai tindakan bagi menanganinya.

“Justeru, menerusi SOP baharu itu nanti, ia lebih teratur dan setiap agensi tahu apa tindakan yang sepatutnya mereka lakukan dan berharap dapat menyelesaikan masalah yang tertangguh sejak sekian lama,” katanya pada sidang media selepas sesi dialog bersama penduduk mengenai kejadian pembakaran terbuka dan jerebu di sekitar Kampung Johan Setia di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah JAS, Datuk Dr Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim; Pengarah JBPM Selangor, Azmi Osman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Sebelum ini, Bee Yin melakukan tinjauan kawasan kebakaran tanah gambut seluas 50 hektar di Kampung Johan Setia dan memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik kebun yang melakukan pembakaran terbuka bagi tujuan pertanian.

Beliau berkata, sikap mementingkan diri pemilik kebun itu tidak boleh diterima sama sekali kerana ia menjejaskan tahap kesihatan berpuluh ribu penduduk yang tinggal berhampiran kawasan berkenaan.

Berita Harian X