Jumaat, 31 Ogos 2018 | 4:01pm
YANG di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan berangkat pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2018 bertemakan 'Sayangi Malaysiaku' di Dataran Putrajaya hari ini. Turut hadir Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo serta jemaah menteri. - Foto BERNAMA
SEBAHAGIAN daripada orang ramai yang hadir bagi menyaksikan persembahan di Dataran Putrajaya sempena sambutan Hari Kebangsaan ke 61 yang bertemakan Sayangi Malaysiaku. - Foto Syarafiq Abd Samad

Lebih 300,000 meriahkan Hari Kebangsaan di Putrajaya

PUTRAJAYA: Lebih 300,000 orang membanjiri Dataran Putrajaya, Presint 3 di sini, hari ini memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2018, yang diraikan dengan penuh semangat patriotisme.

Rakyat pelbagai bangsa dan peringkat usia mula berkumpul sejak jam 5.30 pagi bagi menantikan sambutan penuh bersejarah itu, yang pertama sejak Pakatan Harapan (PH) menerajui Kerajaan Persekutuan pada Mei lalu.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V turut mencemar duli berangkat menghadiri sambutan berkenaan.

Baginda tiba kira-kira jam 8.10 pagi dengan mengenakan pakaian rasmi tentera, dan disambut dengan alunan lagu ‘Negaraku’ oleh pancaragam gabungan pasukan beruniform terdiri daripada 524 anggota.

Yang turut hadir ialah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim; barisan Menteri Kabinet, pegawai kanan kerajaan serta pemimpin parti politik.

Sejurus keberangkatan baginda, Sultan Muhammad V memeriksa Kawalan Kehormatan Utama yang dibarisi 107 pegawai dan anggota dari Batalion Pertama Regimen Askar Melayu Diraja dari Kem Sungai Besi, diketuai Kapten Shafiq Ikmar Mohd Zulkipli.

Majlis sambutan dengan tema ‘Sayangi Malaysiaku’ itu kemudian diteruskan dengan acara menaikkan Jalur Gemilang, diiringi 14 das tembakan, yang melambangkan 14 negeri di Malaysia oleh 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja yang diketuai Mejar Asri Che Wil.

Ia diikuti bacaan ikrar Rukun Negara oleh 50 pelajar Maktab Tentera Diraja, Sekolah Seri Puteri, Sekolah Tinggi Kajang dan sekolah menengah di Putrajaya.


SEBAHAGIAN dari orang ramai yang hadir pada sambutan Hari Kebangsaan ke-61 yang bertemakan Sayangi Malaysiaku di Dataran Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan khas ‘Sayangi Malaysiaku’ membabitkan 600 peserta yang terdiri daripada kumpulan kesenian mewakili pelbagai agensi dan persatuan.

Acara perbarisan dan perarakan di Persiaran Perdana sejauh 3.2 kilometer itu bermula pada jam 8.30 pagi, didahului dengan perarakan masuk Kontinjen Kenegaraan iaitu Pembawa Jalur Gemilang, Pembawa Bendera Negeri-Negeri dan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang, melintasi pentas utama.

Perarakan membabitkan lebih 12,000 peserta itu kemudian diikuti dengan Kontinjen Sayangi Malaysiaku, Perkhidmatan Awam, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Sektor Swasta, Ketenteraman Awam dan Keselamatan Negara.

Pegawai dan kakitangan Media Prima Berhad (MPB) turut mengambil bahagian dalam perarakan berkenaan di bawah Kontinjen GLC dan Sektor Swasta.

Seperti tahun sebelumnya, sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini turut memukau penonton yang hadir dan yang mengikutinya secara langsung di kaca televisyen serta media sosial.

Antaranya termasuk pertunjukan lebih 300 aset milik pasukan keselamatan dan ketenteraman awam negara, termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Lebih mengujakan, pertunjukan terbang lintas pesawat udara dan terbang lintas helikopter yang menggegarkan ruang udara Putrajaya.

Pertunjukan membabitkan 27 helikopter, 11 pesawat angkut dan 17 pesawat pejuang, selain 16 pesawat Pilatus PC7 yang membuat formasi nombor ‘61’ sempena kemerdekaan negara yang ke-61 pada tahun ini.

Acara selama dua jam itu diakhiri dengan persembahan lagu ‘Malaysia’ oleh penyanyi tanah air, Faizal Tahir, sebelum Yang di-Pertuan Agong berangkat meninggalkan majlis.

Ini kali ketiga sambutan Hari Kebangsaan diadakan di Putrajaya. Sebelum ini, ia diadakan pada 2003 dan 2005.

Berita Harian X