Jumaat, 31 Ogos 2018 | 8:27am
KEHADIRAN orang ramai sambil mengibarkan Jalur Gemilang pada sambutan Hari Kebangsaan 2018 yang bertemakan Sayangi Malaysiaku di Dataran Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah
DHIA Nur Alif, 8, (kiri), Dhia Nur Adli, 12, dan Dhia Nur Afif Hadi, 5 (tengah) antara kanak-kanak terawal datang bersama keluarga bagi menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Dataran Putrajaya dibanjiri orang ramai

PUTRAJAYA: Orang ramai mula membanjiri Dataran Putrajaya, Presint 3, di sini sejak 5.30 pagi tadi bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2018.

Tinjauan NSTP mendapati kawasan dan bangunan kementerian mulai sesak dengan orang ramai yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan acara perarakan da perbarisan yang dijangka akan bermula jam 8 pagi.

Orang ramai yang berada di sepanjang Dataran Putrajaya kelihatan bersemangat mengibarkan bendera malah, ada antara mereka mengenakan pakaian berunsurkan Jalur Gemilang.

Sambutan Hari Kebangsaan kali ini agak istimewa kerana dianjurkan di Putrajaya dan kali terakhir sambutan seumpama itu diadakan di sini pada tahun 2003 dan 2005.

Tema sambutan Hari Kebangsaan 2018 ialah 'Sayangi Malaysiaku'. Pemilihan tema berkenaan adalah untuk meraikan dan meningkatkan semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sempena sambutan kali ini, kontinjen perarakan membabitkan 12,714 orang, 25 ekor anjing, 60 ekor kuda, 251 aset darat dan 54 aset udara milik Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia serta agensi lain.


PASUKAN pancaragam bersiap sedia di pekarangan Dataran Putrajaya untuk sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya. - Foto Luqman Hakim Zubir

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Dataran Putrajaya sempena sambutan Hari Kebangsaan 2018 yang bertemakan Sayangi Malaysiaku. - Foto Luqman Hakim Zubir

Selain itu, turut bersama sama ialah Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2018, yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Padang Kota Lama, Pulau Pinang pada 4 Ogos lalu.

Konvoi itu disertai 133 orang dan 52 kenderaan termasuk motosikal dengan misi kemerdekaan ke seluruh Semenanjung Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berangkat mencemar duli menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2018 di Dataran Putrajaya, Presint 3 di sini, kira-kira jam 8 pagi ini.

Berita Harian X