Jumaat, 31 Ogos 2018 | 12:46am
MUKHRIZ bersama barisan EXCO mengibarkan Jalur Gemilang pada sambutan Ambang Merdeka 2018 Peringkat Negeri Kedah di Dataran Bangunan Tunku, Alor Setar. - Foto Amran Hamid

Kekalkan keharmonian dan perpaduan

ALOR SETAR: Rakyat digesa mengekalkan keharmonian antara kaum yang sudah wujud sekian lama, sekali gus menjadikan Malaysia negara yang unik di mata dunia.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata semua pihak perlu menjauhkan diri dari sifat iri hati dan hasad dengki bersarang dalam diri, yang boleh merosakkan perpaduan rakyat.

“Jangan kita mencipta jurang antara kaum dengan mengeluarkan kata-kata yang mengguris hati mana-mana kaum kerana Malaysia bukan milik satu kaum saja tetapi milik kita semua.

“Kebelakangan ini, ada pihak yang berkepentingan cuba mengeruhkan hubungan baik rakyat berbilang bangsa hingga ada ketikanya tidak mempedulikan sensitiviti agama dan kaum.

“Perbuatan ini terbawa-bawa hingga ke media sosial yang dijadikan medan untuk melontar tohmahan, tuduhan yang tidak berasas dan sensitif sambil disambut pula oleh pihak yang ada muslihat tertentu,” katanya ketika berucap sempena sambutan Ambang Merdeka 2018 peringkat negeri di Dataran Bangunan Tunku di sini hari ini.

Yang turut hadir, isterinya, Toh Puan Norzieta Zakaria; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Ahmad Kassim dan barisan EXCO.

Mukhriz berkata, rakyat perlu meraikan dan menghargai titik persamaan yang ada dalam kepelbagaian budaya, adat resam, agama dan bahasa, sekali gus menjadi pengukuh kepada perpaduan negara.

“Semangat tolak ansur, muhibah dan bersatu-padu antara semua kaum adalah petua utama untuk memastikan negara kekal stabil, aman dan makmur.

“Jangan biarkan hubungan yang sudah terjalin sekian lama ini terlerai kerana adanya syak wasangka sesama kita.

“Semangat patriotisme atau kecintaan kepada negara ini mestilah berterusan dalam setiap perlakuan dan perbuatan kita, baik ketika bekerja, belajar dan juga melakukan kegiatan harian yang lain,” katanya.

Sambutan terbabit yang dihadiri hampir 5,000 orang dimulakan dengan nyanyian lagu ‘Negaraku’ diikuti lagu negeri, ‘Allah Selamat Sultan’, sebelum disajikan dengan deklamasi sajak.

Selain itu, turut diadakan persembahan hiburan dan tayangan video kemerdekaan, gimik pelancaran iaitu pertunjukan bunga api dan laungan Merdeka dengan menaikkan Jalur Gemilang.

Berita Harian X