Rabu, 29 Ogos 2018 | 3:43pm
ISHAK Hamzah. - Foto NSTP
ISHAK Hamzah. - Foto NSTP

'Kekalkan baucar buku, hadkan jenis belian'

KUALA LUMPUR: Baucar Buku 1 Malaysia (BB1M) kepada pelajar wajar dikekalkan tetapi syaratnya perlu diperketatkan dengan mengehadkan pembelian buku sahaja.

Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Ishak Hamzah, berkata pemberian baucar buku bukan hanya membantu pelajar membeli buku rujukan sesuai dengan keperluan pengajian, bahkan sebagai galakan tabiat membaca dan menjadi `vitamin’ kepada industri buku.

Katanya, hasrat kerajaan memperkenalkan baucar buku pada 2012 adalah untuk membantu pelajar membeli buku bagi rujukan pembelajaran dan menggalakkan mereka untuk membaca.

“Pada tahun awal pelaksanaannya, kesannya sangat positif apabila lebih banyak buku terjual di pasaran dan buku baharu dapat diterbitkan dengan kuantiti yang lebih besar,” katanya kepada NSTP, di sini, hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, berkata pihaknya perlu meneliti beberapa perkara, termasuk bajet kementerian sebelum membuat keputusan berhubung BB1M yang diperkenalkan kerajaan terdahulu.

Nie Ching berkata, setakat ini belum ada sebarang perbincangan dan keputusan berhubung BB1M.

BB1M diberikan kepada pelajar yang layak, dengan setiap pelajar menerima baucar bernilai RM200, sebelum bantuan itu dinaikkan kepada RM250 pada 2013.

Pada pembentangan Bajet 2017, penggunaan BB1M diperluaskan bukan hanya untuk pembelian buku, bahkan barangan gaya hidup termasuk telefon.

Ishak berkata, apabila pemberian baucar buku digantikan dengan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) pada 2017, galakan membeli bahan bacaan dan tabiat membaca terus pudar.

“Hal ini disebabkan KADS1M tidak lagi dihadkan kepada pembelian buku, sebaliknya merangkumi barangan gaya hidup termasuk pakaian.

“Jika kita mahu membina masyarakat Malaysia baharu yang minat membaca, galakan dan rangsangan perlu seiring dengan hasrat murni itu.

“Apabila kita bersungguh menjaja kempen membaca, perlu ada kesungguhan untuk memastikan ada buku di tangan pelajar, juga ada buku baharu di pelbagai perpustakaan dan pusat sumber,” katanya.

Ishak berkata, pemberian baucar buku sangat wajar diteruskan, manakala pusat sumber diberikan dana untuk membeli buku.

Berita Harian X