Ahad, 19 Ogos 2018 | 4:21pm

CEPSI 2018: Bermanfaat kepada penggiat bekalan tenaga

azzman@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Persidangan Industri Bekalan Tenaga Elektrik 2018 (CEPSI 2018) yang dihoskan Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Kuala Lumpur bulan depan bakal memberi manfaat kepada penggiat industri bekalan tenaga yang ingin tahu amalan terbaik untuk menghadapi cabaran industri.

Dalam satu kenyataan hari ini, TNB berkata peserta berpeluang bertemu dengan pemimpin pemikir peringkat antarabangsa dan tempatan yang akan membincangkan dan berkongsi pengetahuan serta pengalaman mereka berhubung beberapa topik berkaitan dengan tema CEPSI 2018, iaitu 'Imaginasi Semula Utiliti Masa Depan’.

Katanya, tema kali ini memberi penekanan terhadap transformasi industri untuk mengatasi cabaran daripada gangguan teknologi, peralihan ekonomi, evolusi kelestarian dan keperluan pengawalseliaan serta peningkatan jangkaan pelanggan.

“Lebih 1,500 delegasi dijangka akan menyertai CEPSI 2018 yang akan dianjurkan bermula 17 hingga 22 September di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Dengan 550 kertas teknikal, 15 tokoh terkemuka dan kira-kira 150 pempamer, CEPSI 2018 diyakini akan menghasilkan perbincangan bermanfaat dan mewujudkan rangkaian dalam kalangan delegasi membabitkan lebih 30 negara,” katanya

Sejak penubuhannya pada 1976 di Hong Kong, SAR CEPSI berkembang menjadi acara antarabangsa penting bagi industri tenaga, pemimpin utiliti, profesional industri dan pakar dari seluruh dunia untuk bertukar idea antara satu sama lain.

TNB memperoleh 27 penajaan untuk CEPSI 2018 termasuk IBM, salah satu syarikat teknologi maklumat terbesar dunia dan Rohas Tecnic Bhd, pengeluar terbesar menara monopol dan lattice di Malasyia.

Penaja lain terdiri daripada Siemens, Edra Power Holdings, BMW, ABB, GE, Accenture, Huawei, Sarawak Energy, Daelim, Meralco, CG Power Systems Indonesia, Tai Chyun Ind, Schneider Electric, Pestech Energy, Ernst & Young, Nokia, LLC Berhad, Trilliant, Samsung C&T, Perusahaan Listrik Negara, GMR Energy Ltd, Malakoff, PWC, Andritz, dan Sagemcom.

Berita Harian X