Sabtu, 18 Ogos 2018 | 2:33pm
GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

Permyjaya catat IPU sangat tidak sihat

MIRI: Kawasan Permyjaya dan sekitarnya diselubungi jerebu susulan kebakaran hutan berhampiran Kompleks Hamidah, Kuala Baram, di sini, dipercayai akibat cuaca panas dan kering, hari ini.

Lebih memburukkan keadaan apabila kejadian berlaku di kawasan tanah gambut, sekali gus memberi cabaran lebih besar kepada anggota bomba untuk mengawal kebakaran.

Malah, kebakaran turut menyebabkan peningkatan mendadak indeks pencemaran udara (IPU) di Permyjaya ke paras sangat tidak sihat iaitu IPU 228 yang direkodkan pada jam 1 tengah hari tadi.

Ketua Zon Bomba dan Penyelamat Miri, Law Poh Kiong, berkata kebakaran dikesan berlaku kelmarin dan sehingga kini sudah merebak ke kawasan seluas 32 hektar.

Katanya, hasil siasatan awal tidak menolak kemungkinan kebakaran berpunca daripada aktiviti pembakaran terbuka oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Keadaan bertambah sukar apabila ketika ini kita sedang berdepan musim panas dan kering.

“Operasi pemadaman bermula pada jam 9 pagi tadi membabitkan Unit Udara Bomba Miri,” katanya.

Beliau berkata, keadaan cuaca panas dan kering, selain angin kuat menyebabkan kebakaran cepat merebak.

“Justeru, usaha mengawal kebakaran giat dijalankan bagi mengelak kebakaran terus merebak ke kawasan lain,” katanya.

Hutan paya gambut Kuala Baram, antara lokasi yang sering terbabit dalam kebakaran hutan hampir setiap tahun.

Kemusnahan kebakaran pernah mencatatkan sehingga 200 hektar dan mengambil masa sebulan untuk dipadamkan.

Berita Harian X