Jumaat, 17 Ogos 2018 | 10:04pm
KEADAAN jerebu pada ruang udara Bandaraya Kuala Lumpur berlatarkan Menara Berkembar Petronas kelihatan kabur berikutan keadaan jerebu yang melanda negara hari ini. - Foto BERNAMA

Jerebu akibat kebakaran di Sumatera dan Kalimantan

KUALA LUMPUR: Jerebu yang sedang melanda di kebanyakan tempat di negara ini dikesan berpunca dari Sumatera Utara dan Kalimantan Barat.

Jurucakap Jabatan Alam Sekitar (JAS), berkata memburukkan keadaan apabila angin Monsun Barat Daya yang menghala Semenanjung menyebabkan keadaan itu dijangka berlarutan dalam tempoh sebulan.

“Bagaimanapun, keadaan itu bergantung kepada arah tiupan angin dan taburan hujan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, bacaan terkini Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan Banting, Selangor mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu 106, manakala IPU di Putrajaya dan Nilai pula dalam kategori sederhana iaitu 94 dan 95.

Bacaan terkini IPU di laman sesawang JAS sehingga jam 4 petang tadi menunjukkan empat kawasan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur mencatatkan bacaan sederhana iaitu Klang (95), Putrajaya (94), Shah Alam (86), Petaling Jaya (85) dan Batu Muda (81)

Bacaan IPU 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).

Beberapa kawasan di Kedah, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan mencatat bacaan IPU sederhana dengan bacaan antara 55 hingga 74.

Tiga kawasan di Sarawak turut mencatat IPU sederhana iaitu Miri (79), Mukah (78) dan Sarikei (74).

Sementara itu, beberapa negeri di Semenanjung, termasuk Sabah dan Sarawak dijangka menerima hujan di bawah paras purata sepanjang bulan ini hingga September, berikutan cuaca panas.

JAS berkata, orang ramai tidak perlu panik sebaliknya mengambil langkah untuk menjaga kesihatan mereka antaranya mengurangkan aktiviti di luar rumah, melakukan pembakaran terbuka.

“Pastikan minum air yang mencukupi dan memakai penutup muka ketika keluar dari rumah,” katanya.

Berita Harian X