Khamis, 16 Ogos 2018 | 3:35pm
DATUK Seri Azalina Othman Said. - Foto Hafiz Sohaimi
DATUK Seri Azalina Othman Said. - Foto Hafiz Sohaimi

'Pinda akta, bukan terus mansuh'

KUALA LUMPUR: Undang-undang sedia ada seperti Akta Kanun Acara Jenayah dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia tidak memadai menyelesaikan isu fitnah menerusi media sosial.

Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-UMNO Pengerang) berkata, hakikat itu adalah faktor yang membawa kepada pembentukan Akta Antiberita Tidak Benar 2018.

Beliau yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab merangka akta itu berkata, kebanyakan fitnah yang tersebar di media sosial didalangi pemegang akaun palsu.

“Hanya orang yang dayus menggunakan akaun palsu ini. Kalau orang macam Yang Berhormat Sepang, dia berani akan cakap depan dan terang-terangan di Dewan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 di Dewan Rakyat, hari ini.

Azalina berkata, penggunaan undang-undang lain dalam isu itu memakan masa tiga hingga empat tahun untuk diselesaikan sedangkan reputasi orang difitnah sudah tercemar.

Justeru, beliau meminta kerajaan meneliti semula cadangan memansuhkan undang-undang itu, sebaliknya membawa usul kepada Jawatankuasa Hal Ehwal Undang-Undang Dewan Rakyat untuk disemak kembali.

“Jika perlu buat pindaan, lebih baik dipinda termasuk jika dilihat dendanya tinggi maka boleh diringankan.

“Saya memahami niat membatalkan akta ini bagi memenuhi manifesto. Janganlah tergesa-gesa.

“Jangan sebab marahkan nyamuk, kelambu dibakar, jangan melempar tuduhan. Kalau dah menang tu buatlah yang terbaik, jangan main lanyak saja.

“Mungkin kerajaan menang dari segi undi kerana ada suara majoriti, namun kita kena ingat bahawa undang-undang dibuat untuk melindungi rakyat.

“Di luar negara ada yang tumbang hanya kerana berita tidak benar, ” katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin, membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.

Azalina turut menepis dakwaan kononnya Akta Antiberita Tidak Benar menyebabkan rakyat takut membincangkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kerajaan Barisan Nasional (BN) menyekat rakyat membincangkan isu itu.

“Kami (BN) kalah kerana kes 1MDB mewujudkan persepsi ketidakpercayaan terhadap kerajaan dalam kalangan rakyat.

“Justeru, apa kena mengena isu itu (1MDB) dengan undang-undang ini,” katanya.

Berita Harian X