Rabu, 15 Ogos 2018 | 7:28pm
KETUA Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Datuk Mohd Jeffrey Joakim. - Foto Asyraf Hamzah
KETUA Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Datuk Mohd Jeffrey Joakim. - Foto Asyraf Hamzah

Kadar pengangguran negara masih terkawal

KANGAR: Kadar pengangguran negara masih di bawah paras terkawal pada kadar kira-kira 3.4 peratus iaitu 1.1 juta orang bagi suku pertama tahun ini, berbanding jumlah keseluruhan penduduk Malaysia seramai 32.4 juta orang ketika ini.

Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Datuk Mohd Jeffrey Joakim berkata, angkat terbabit adalah malar iaitu antara 3.3 peratus hingga 3.4 peratus setiap tahun sejak beberapa tahun lalu.

Beliau berkata, peratusan terbabit dipengaruhi pelbagai faktor semasa termasuk kestabilan ekonomi dan politik di dalam dan luar negara.

“Kadar pengangguran di negara ini dianggap masih rendah dan stabil jika dirujuk kepada paras yang ditetapkan peringkat antarabangsa iaitu pada kadar empat peratus berbanding jumlah keseluruhan penduduk sesuatu negara.

“Pelbagai faktor mempengaruhi kadar pengangguran dan salah satunya ialah pemberhentian pekerja akibat faktor ekonomi semasa, tetapi kesemua faktor terbabit adalah satu kebiasaan bagi mana-mana negara.” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan hadiah Pertandingan Bercerita dan Pidato Kerjaya Sekolah-Sekolah Peringkat Negeri Perlis sempena Program Informasi Pekerjaan dan Latihan anjuran Jabatan Tenaga Kerja Negeri Perlis yang berlangsung di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kangar di sini, hari ini.

Mohd Jeffrey berkata, antara faktor pemberhentian lain ialah perubahan beberapa sektor perkhidmatan yang berubah cara melaksanakan kerja daripada kaedah manual kepada kaedah automasi seperti perkhidmatan perbankan yang kini banyak menggunakan mesin dan transaksi atas talian.

“Bagi sektor perindustrian pula, pemberhentian pekerja bukan disebabkan kegagalan ekonomi secara umum tetapi adalah sesuatu yang lumrah bila terdapat beberapa syarikat besar yang mungkin memindahkan operasi mereka ke kawasan lain menyebabkan sejumlah pekerja terpaksa ditamatkan perkhidmatan,” katanya.

Terdahulu, Mohd Jeffry menyampaikan sumbangan peruntukan kepada tiga orang penerima Skim Bantuan Galakan Perniagaan Orang Kelainan Upaya (SBGPOKU) berjumlah hampir RM100,000 ribu kepada tiga penerima OKU di negeri ini.

Berita Harian X