Rabu, 15 Ogos 2018 | 7:03pm
TIMBALAN Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Harga rumah PR1MA mungkin diturunkan

KUALA LUMPUR: Harga rumah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan dikaji untuk diturunkan daripada RM300,000 kepada RM250,000 seunit.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, berkata langkah itu bagi membolehkan lebih ramai rakyat memerlukan dan berhak mampu membeli kediaman terbabit.

Pada masa sama, katanya, langkah itu diharap mendapat sokongan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan mengkaji semula kadar harga premium tanah di kawasan projek PR1MA bagi mengurangkan kos projek.

“Pihak seperti kerajaan negeri dan PBT perlu mengambil tanggungjawab bersama dalam hal premium tanah.

“Ini antara kajian dimasukkan dalam dasar perumahan baharu yang akan dibentang sebulan lagi,” katanya menggulung Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan peringkat jawatankuasa bagi pihak kementerian di Dewan Rakyat, hari ini.

Seramai 19 Ahli Parlimen membahaskan usul itu dengan mengemukakan 40 soalan berkisar isu peruntukan untuk Kampung Baru, status PR1MA, bank data berkaitan maklumat pembeli rumah dan kemudahan pinjaman kewangan untuk membeli rumah PR1MA.

Raja Kamarul Bahrin berkata, sejak dimulakan pada 2013, hanya 1.6 peratus atau 16,682 unit rumah PR1MA dapat dibina setakat ini, berbanding sejuta unit yang disasarkan.

“Ini menimbulkan kemusykilan mengenai projek yang menerima peruntukan RM8 bilion itu.

“Justeru, kita akan menilai masalah dihadapi PR1MA dan bagaimana harus distruktur semula bagi keberkesanan pelaksanaannya,” katanya.

Berita Harian X