Rabu, 15 Ogos 2018 | 1:28pm
DARELL Leiking menjawab. - Foto Mohd Yusni Ariffin
DARELL Leiking menjawab. - Foto Mohd Yusni Ariffin

NAP tentukan kadar duti eksais kereta import

KUALA LUMPUR: Pengurangan kadar duti eksais bagi kereta import akan dikaji semula berikutan kajian semula Dasar Automotif Nasional (NAP).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking, berkata keputusan untuk meneruskan pengurangan kadar duti eksais jika projek kereta nasional ketiga dilaksanakan bergantung kepada kajian berkenaan.

Katanya, kajian semula NAP akan diumumkan hujung tahun ini.

“Hasil kajian itu akan menentukan sama ada kita menyemak semula pengurangan duti eksais untuk kereta import, selain persetujuan bersama dengan Kementerian Kewangan,” katanya.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Rozman Isli (BN-UMNO Labuan) berhubung sama ada pengurangan duti eksais bagi kereta import akan diteruskan jika projek kereta nasional ketiga dilaksanakan, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Darell berkata, pemberian duti eksais untuk kereta import kategori kereta pertama dengan enjin bersaiz bawah 1,600 cc bertujuan mendorong syarikat pengeluar kereta menggunakan komponen tempatan.

Katanya, ia juga bagi menggalakkan pemasangan komponen kereta keluaran tempatan.

Beliau berkata, insentif itu turut bertujuan menggalakkan syarikat komponen kenderaan tempatan mempelajari teknologi terkini daripada syarikat pengimport kenderaan bagi mengurangkan kos pengeluaran.

Menjawab soalan tambahan Rozman mengenai projek kereta nasional ketiga yang akan dibangunkan menerusi pelaburan swasta, Darell berkata, kerajaan sedia menerima cadangan termasuk kerjasama dengan negara lain dan syarikat pengeluar kenderaan antarabangsa.

“Projek kereta nasional ketiga ini masih di peringkat cadangan dan kita konsisten projek itu tidak akan menggunakan duit kerajaan, sebaliknya melalui insentif pelaburan swasta, ” katanya.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Amzad Mohamed Hashim (PAS- Kuala Terengganu) sama ada projek kereta nasional ketiga akan ditumpukan kepada pantai timur bagi membangunkan wilayah itu, Darell berkata, ia akan ditimbangkan, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Katanya, cadangan itu akan dimasukkan dalam kerangka kajian projek kereta nasional ketiga.

“Sebagai Menteri dari Sabah, cadangan itu memang baik supaya negeri di pantai timur, Sabah dan Sarawak dapat manfaat daripada cadangan projek kereta nasional ketiga,” katanya.

Berita Harian X