Isnin, 13 Ogos 2018 | 5:57pm
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengadakan sidang media pada sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

KBS terus bantu bekas atlet

KUALA LUMPUR: Lebih 2,400 bekas atlet negara yang kini kehabisan dana menerusi program kebajikan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), akan terus dibantu dari segi bantuan perubatan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata perkara itu diputuskan menerusi pertemuannya dengan Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali.

“Peruntukan akan disampaikan dan selepas itu kita akan menentukan jalan penyelesaian komprehensif untuk terus membantu bekas atlet negara.

“Kita akan memperhalusi jumlah peruntukan dan membantu lebih 2,400 bekas atlet ini,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan kenyataan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, yang membayangkan kemungkinan menghentikan sementara program kebajikan dan bantuan perubatan kepada bekas atlet negara mulai Rabu ini susulan kehabisan dana.

Katanya, YAKEB juga akan menghentikan pengeluaran Surat Jaminan (GL) kepada bekas atlet yang ingin menjalani pembedahan dan mendapatkan rawatan di hospital kerajaan serta swasta.

Keadaan itu berikutan dana RM3 juta yang disalurkan kerajaan kepada YAKEB sudah dibelanjakan untuk membantu lebih 2,400 bekas atlet kebangsaan yang memerlukan bantuan kewangan dan perubatan, sebelum ini.

Berita Harian X