Isnin, 13 Ogos 2018 | 3:03pm
KETUA Pengarah, Jabatan Pengajian Tinggi Kementerian Pendidikan, Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir. - Foto Roslin Mat Tahir
HAMIDAH (tengah) menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara Mohamed Ibrahim dan Rektor, Universitas

Malaysia kekurangan saintis dan jurutera

KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan sekitar 500,000 saintis dan jurutera menjelang 2020 bagi memastikan negara berada pada landasan tepat ke arah Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0).

Ketua Pengarah, Jabatan Pengajian Tinggi Kementerian Pendidikan, Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir, berkata Malaysia bagaimanapun hanya memiliki 70,000 jurutera berdaftar setakat ini.

"Berdasarkan anggaran dikeluarkan Majlis Kebangsaan Bagi Pembangunan Saintifik dan Penyelidikan (MKPSB), kita memerlukan kira-kira 500,000 saintis dan jurutera, namun jumlah yang ada hanya sekitar 17 peratus daripada jumlah anggaran dikeluarkan MKPSB.

"Justeru, usaha dan langkah bersepadu harus disegerakan bagi menangani masalah serius kekurangan saintis dan jurutera di negara ini lebih-lebih lagi apabila negara kita berdepan cabaran IR 4.0," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kongres Teknologi, Sains dan Kejuruteraan Dunia (ESTCON) 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini mewakili Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Yang turut hadir, Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Teknologi Petronas (UTP), Prof Dr Mohamed Ibrahim Abd Mutalib.

ESTCON 2018 adalah cara dwi tahunan bertemakan 'Sains, Teknologi dan Kemanusiaan: Mencipta Semula Masa Depan' anjuran UTP dengan sokongan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar.

Kongres itu mengumpulkan lebih 1,000 pakar dari seluruh dunia dalam pelbagai bidang penyelidikan dan inovasi memfokuskan IR 4.0.

Mengulas lanjut, Siti Hamisah berkata, bidang pendidikan negara perlu dipertingkatkan lagi dengan pendekatan pengajaran dan pembelajaran harus selari dengan keperluan IR 4.0.

"Kita perlu mewujudkan kurikulum dengan mengambil kira prinsip dalam era digital. Penggunaan teknologi dalam bilik darjah berupaya meningkatkan lagi proses pengajaran," katanya.

Berita Harian X