Isnin, 6 Ogos 2018 | 6:01pm
TIMBALAN Ketua Pengarah (Pembangunan) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Mansor Omar merasmikan Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan Tempatan 2018 di Kangar, hari ini. - Foto Dziyaul Afnan Abdul Rahman
TIMBALAN Ketua Pengarah (Pembangunan) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Mansor Omar merasmikan Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan Tempatan 2018 di Kangar, hari ini. - Foto Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Orang Malaysia kurang suka buah tempatan dan sayur

KANGAR: Rakyat Malaysia didapati kurang menggemari buah-buahan tempatan berikutan kadar pengambilannya hanya kira-kira 65 kilogram (kg) sahaja dalam tempoh setahun.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Mansor Omar, berkata jumlah itu tidak menepati sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menetapkan individu perlu mengambil buah-buahan sekurangnya 400 kg seorang setiap tahun.

Katanya, walaupun terdapat peningkatan pengambilan buah-buahan tempatan direkodkan sejak 2016, namun ia masih terlalu jauh mencapai sasaran WHO.

"Tahap kesedaran rakyat Malaysia masih rendah, malah kita terlalu mempercayai mitos sekiranya makan buah-buahan tempatan seperti durian dan rambutan, mereka bakal berhadapan masalah kesihatan.

"Bukan buah sahaja, malah rakyat Malaysia turut mencatatkan kadar yang rendah dalam pengambilan sayur-sayuran dengan hanya 55 kg seorang untuk setahun.

"Sedangkan ia perlu diambil pada kadar sekurangnya 150 kilogram setahun," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan Tempatan 2018 di sini, hari ini.

Mansor berkata, pihaknya kini meletakkan sasaran rakyat Malaysia makan 120kg buah-buahan tempatan setiap orang mulai tahun ini.

"Sebenarnya terdapat banyak buah-buahan tempatan yang mampu memberi manfaat dari sudut kesihatan kepada rakyat seperti durian, cempedak, duku, dokong dan rambutan.

"Disebabkan itu kita sentiasa menggalakkan orang ramai menikmati buah-buahan ini, sekali gus membantu menjana pendapatan kepada petani tempatan," katanya.

Berita Harian X