Sabtu, 4 Ogos 2018 | 3:06pm
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail (dua dari kanan) membantu kakitangan Tesco menghantar makanan sebanyak 90 kilogram kepada bank makanan sempena Program Bank Makanan semasa melawat Tesco Extra Sungai Dua, Georgetown, Pulau Pinang. - FOTO RAMDZAN MASIAM
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail (dua dari kanan) membantu kakitangan Tesco menghantar makanan sebanyak 90 kilogram kepada bank makanan sempena Program Bank Makanan semasa melawat Tesco Extra Sungai Dua, Georgetown, Pulau Pinang. - FOTO RAMDZAN MASIAM

Pasar raya besar digalak sertai program Food Bank

GEORGETOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berharap lebih banyak pasar raya besar di negara ini menyertai program pengumpulan dan pengagihan makanan (Food Bank) bagi meringankan beban masyarakat dan golongan sasaran yang kurang berkemampuan.

Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya kini sudah berbincang dengan beberapa kumpulan pasar raya besar di negara ini dan setakat ini ia menunjukkan perkembangan positif.

"Kita akan laksanakan program seumpama ini (pengumpulan dan pengagihan makanan) di peringkat nasional dengan skala lebih besar pada kadar segera kerana ia ternyata memberi impak yang besar kepada masyarakat kurang berkemampuan dan golongan sasaran selain dapat mengurangkan kos sara hidup.

"Program ini juga dilihat tidak memberi implikasi kewangan yang besar kerana setiap pasar raya ada lebihan makanan di setiap bahagian seperti buah-buahan, sayur dan bakeri," katanya yang ditemui pada majlis taklimat Mutiara Food Bank di Tesco Sungai Dua, di sini, hari ini.

Mutiara Food Bank dengan kerjasama kerajaan negeri ditubuhkan pada 1 Mei 2017 untuk memberi bantuan makanan secara langsung dari rumah ke rumah kepada kelompok miskin dan memerlukan.

Saifuddin berkata, buat masa ini Pulau Pinang dipilih sebagai projek perintis bagi program terbabit dan modul yang sedang dilakukan itu akan dibawa ke negeri lain untuk dijadikan contoh.

"Selepas ini, saya difahamkan program seumpama itu akan dilaksanakan di Kelantan dan Negeri Sembilan juga turut menyatakan minat sama untuk melakukan program terbabit.

"Sebagai permulaan, untuk kedua-dua negeri ini kita mungkin boleh memulakannya dengan menyediakan lebihan makanan yang terdiri daripada sayur-sayuran," katanya.

Berita Harian X