Khamis, 2 Ogos 2018 | 11:22am
DATUK Law Choo Kiang (kiri) bersalaman bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow selepas dilantik Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang bagi Mesyuarat DUN Ke-14 hari ini di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong
DATUK Law Choo Kiang (kiri) bersalaman bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow selepas dilantik Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang bagi Mesyuarat DUN Ke-14 hari ini di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong

Choo Kiang kekal Yang Dipertua DUN Pulau Pinang

GEORGETOWN: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Datuk Law Choo Kiang, dilantik Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang bagi penggal kedua berturut-turut.

Choo Kiang, 48, adalah calon tunggal dilantik bagi jawatan itu pada Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Sidang DUN Ke-14 bagi pemilihan Yang Dipertua di DUN Pulau Pinang, selepas tarikh pencalonan ditutup pada 19 Julai lalu.

Pelantikan Choo Kiang yang juga Naib Pengerusi PKR itu dibuat mengikut Peraturan 1, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat DUN Pulau Pinang.

ADUN Sungai Bakap daripada PKR, Dr Amar Pritpal Abdullah, pula dilantik Timbalan Yang Dipertua DUN Pulau Pinang, selepas menjadi calon tunggal bagi jawatan itu.

Pencalonan Choo Kiang dan Dr Amar Pritpal itu dicadangkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan disokong Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman pada Majlis Angkat Sumpah ADUN Pulau Pinang.

Pada sidang sama, semua 40 wakil rakyat mengangkat sumpah jawatan didahului Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota, diikuti ADUN lain.

Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Sidang DUN Ke-14 Pulau Pinang menyaksikan 37 ADUN Pakatan Harapan, dua daripada Barisan Nasional dan satu (PAS), dengan 26 daripada jumlah keseluruhan adalah muka baharu.

Ia membabitkan 19 wakil rakyat daripada DAP, manakala 14 ADUN PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (2), Parti Amanah Negara (2), Barisan Nasional (2) dan PAS (1).

Pada sidang sama, Choo Kiang turut mengumumkan ADUN Sungai Dua daripada BN, Muhammad Yusoff Mohd Noor, dilantik sebagai Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan merangkap ADUN Air Putih, Lim Guan Eng serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang juga ADUN Pantai Jerejak, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Berita Harian X