X
Khamis, 26 Julai 2018 | 5:54pm

Khazanah tidak tersasar - Najib

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyangkal kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) menyimpang daripada tujuan asal membantu Bumiputera.

Najib berkata, Khazanah tidak diwujudkan untuk kepentingan individu atau kelompok tertentu, sebaliknya bertujuan mencipta hasil kekayaan kepada negara.

Katanya, Khazanah berbeza dengan institusi seperti Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) atau Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) yang ditubuh untuk menggalakkan pembabitan usahawan Bumiputera dalam perniagaan.

"Visi Khazanah adalah sebagai institusi pelaburan untuk mencipta kekayaan negara dan mengembalikan dividen kepada kerajaan.

"Mereka berjaya menubuhkan syarikat baharu, memasuki pasaran antarabangsa dan mengukuhkan potensi bakat dalam negara.

"Namun, jika bakat ini tidak diberikan peluang, mereka akan pergi ke tempat lain dan apabila negara kehilangan bakat, kita akan memiliki pengurusan tidak berkualiti.

"Saya bimbang mengenai masa depan sektor korporat di negara ini," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas mengenai peletakan jawatan sembilan pengarah Khazanah termasuk Pengarah Urusan, Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengerusi Eksekutif,Tan Sri Nor Md Yusof, bagi memberi laluan kepada kerajaan baharu memutuskan kepimpinan dan hala tuju dana kekayaan kedaulatan itu.

Pengarah Khazanah lain terdiri daripada tokoh terkemuka seperti Datuk Seri Nazir Razak, Datuk Dr Nirmala Menon, Tan Sri Mohamed Azman Yahya, Datuk Mohammed Azlan Hashim, Yeo Kar Peng, Tan Sri Andrew Sheng Len Tao dan Raja Tan Sri Arshad Raja Uda.

Keputusan itu dibuat beberapa minggu selepas Dr Mahathir mengkritik Khazanah kerana didakwa menyimpang daripada tujuan asal membantu Bumiputera.

Ditanya sama ada peletakan jawatan pengarah Khazanah dibuat kerana desakan kerajaan, Najib menegaskan tidak tahu mengenainya kerana tidak lagi terbabit dalam dana kekayaan kedaulatan itu.

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini. - Foto Rosdan Wahid
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini. - Foto Rosdan Wahid
Berita Harian X