Ahad, 22 Julai 2018 | 3:17pm

Tangani pornografi, elak salah laku babit anak-anak - TPM

TUARAN: Seramai 1,664 anak tidak saf taraf lahir daripada ibu berusia bawah 18 tahun, setakat Jun lalu, berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata sehubungan itu, kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat terus aktif bersama pelbagai pihak untuk menggembleng usaha menangani salah laku isu pornografi yang semakin menjadi barah dalam masyarakat.

"Kurangnya iman, jati diri dan ilmu seseorang individu akan mendorong kepada ketagihan pornografi berpunca daripada salah laku dalam menggunakan kemajuan dalam bidang teknologi media dan komunikasi.

"Masalah kerapuhan dan keruntuhan institusi keluarga juga kian merunsingkan kita. Gejala sumbang mahram, keganasan rumah tangga, seks sebelum nikah, menonton video lucah amat membimbangkan kebelakangan ini.

"Statistik JPN menunjukkan seramai 4,992 anak tidak sah taraf dilahirkan oleh ibu berusia bawah 18 tahun pada tahun lalu, manakala pada tahun ini sehingga Jun lalu, jumlahnya ialah 1,664 dan 120 kes pembuangan bayi pada tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama ketika merasmikan Seminar Sekeluarga Tolak Pornografi (SToP) di Dewan Serbaguna Institut Perguruan Guru (IPG) Kampus Kent, Tuaran, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah, Christina Liew dan Pembantu Menteri Kewangan negeri, Kenny Chua.

Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata pelaksanaan kempen kawalan penggunaan gajet dan keluarga bijak siber perlu diperluaskan dalam mengawal penggunaan gajet dan melayari alam siber secara berhemah.

"Tidak dinafikan, gajet adalah medium komunikasi utama pada era ini untuk berkongsi maklumat dalam banyak perkara. Namun, penggunaan secara tidak terkawal boleh memberi implikasi negatif kepada pengguna.

"Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia ke-5 (KPKM-5, 2014) menunjukkan 35.3 peratus individu berusia 13 hingga 24 tahun terdedah kepada pornografi.

"Daripada jumlah itu, 60.8 peratus memperolehnya dari internet, 45 peratus melalui telefon pintar dan 20 peratus melalui cakera padat (CD) atau cakera padat digital (DVD) lucah," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pembangunan negara bangsa perlu bermula dengan institusi kekeluargaan yang utuh dalam segala aspek membabitkan pegangan agama, kasih sayang, moral dan sahsiah yang baik.

Objektif seminar ialah memberi kesedaran kepada masyarakat dan keluarga bahaya pornografi, mendidik masyarakat dan keluarga agar menghindari aktiviti pornografi dan membuka jalan keluar bagi mereka yang sudah di peringkat ketagihan.

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersalaman dengan sebahagian peserta ketika hadir di Majlis Perasmian Seminar Sekeluarga Tolak Pornografi (STOP) di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kent di Tuaran. - Foto Malai Rosmah Tuah
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersalaman dengan sebahagian peserta ketika hadir di Majlis Perasmian Seminar Sekeluarga Tolak Pornografi (STOP) di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kent di Tuaran. - Foto Malai Rosmah Tuah

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X