Sabtu, 21 Julai 2018 | 9:32pm
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Amaran angin kencang, laut bergelora

KUALA LUMPUR: Angin kencang Barat Daya berkelajuan 50 hingga 60 km sejam (kmsj) dengan ombak setinggi 4.5 meter diramal berlaku di kawasan perairan Phuket, Thailand, sehingga Jumaat ini.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, keadaan yang sama juga dijangka berlaku di kawasan perairan Selat Melaka Utara, Samui, Selatan Condore, Utara Reef North, Layang-layang dan Palawan dengan angin kencang Barat Daya berkelajuan 40 hingga 50kmsj dan ombak setinggi 3.5 meter.

Menurut kenyataan jabatan itu, angin kencang Barat Daya dengan kelajuan dan ketinggian ombak yang sama diramal melanda kawasan perairan Perlis dan Kedah sehingga Jumaat ini.

Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga 50kmsj dan ombak sehingga 3.5 meter juga dijangka berlaku di kawasan perairan Barat Sarawak sehingga 11 malam ini.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan serta perkhidmatan feri.

Ia juga berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. - BERNAMA

Berita Harian X