Khamis, 19 Julai 2018 | 5:04pm
DR Dzulkefly Ahmad. - Foto BERNAMA

9,058 graduan dilantik sebagai PPS secara kontrak

KUALA LUMPUR: Seramai 9,058 graduan perubatan dilantik sebagai Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) secara kontrak selama dua tahun sehingga 25 Jun lalu menerusi inisiatif Kementerian Kesihatan dalam mengatasi masalah menunggu lama untuk menjalani latihan siswazah (housemanship).

Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ketika ini, tempoh menunggu graduan untuk menjalani latihan di Hospital Latihan Siswazah (HLS) selepas berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) adalah antara lapan hingga 11 bulan.

Katanya, masalah berlaku disebabkan beberapa faktor, antaranya slot latihan yang disediakan Kementerian Kesihatan terhad, iaitu 11,706 dan tidak dapat menampung keluaran graduan perubatan dari dalam dan luar negara yang dianggarkan 5,000 hingga 6,000 orang setahun.

"Selain itu, hanya 67.1 peratus PPS berjaya menamatkan latihan siswazah dalam tempoh dua tahun, manakala 32.9 peratus lagi mengambil masa lebih lama akibat faktor peribadi dan kompetensi.

"Ia menyebabkan berlakunya 'backlog' kerana slot latihan sedia ada mengambil masa lama untuk dikosongkan," katanya ketika menjawab soalan Chang Lih Kang (PH-PKR Tanjong Malim) mengenai cara memperbaiki keadaan graduan kedoktoran yang terpaksa menunggu lama untuk diserap ke dalam latihan perkhidmatan di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Dzulkefly juga menjelaskan, Kementerian Kesihatan mengambil maklum masalah itu dan melaksanakan beberapa inisiatif untuk mempercepatkan lantikan graduan perubatan berkenaan.

Beliau berkata, antara inisiatif yang sudah dilaksanakan adalah menambah bilangan HLS dari 38 pada 2009 kepada 47 pada tahun ini.

Selain itu, katanya, Kementerian Kesihatan turut menambah bilangan penempatan alternatif daripada lima kepada sembilan penempatan di klinik kesihatan dan Institusi Kesihatan Mental.

"Menerusi inisiatif ini, Kementerian Kesihatan dapat meningkatkan slot latihan daripada 10,835 pada tahun 2013 kepada 11,706 pada 2018," katanya.

Dr Dzulkefly berkata, kementeriannya juga sedang meneliti lapan lagi hospital untuk dilengkapkan sebagai HLS dalam tempoh dua tahun akan datang selain turut meningkatkan kepakaran di hospital sedia ada menerusi penempatan pakar baharu.

"Kementerian Kesihatan akan memberi keutamaan kepada PPS kontrak yang berjaya menamatkan latihan siswazah dalam tempoh dua tahun untuk diserap masuk sebagai Pegawai Perubatan lantikan tetap.

"Justeru, kementerian merangka perancangan bagi membolehkan PPS yang berprestasi tinggi dapat menamatkan latihan siswazah mereka lebih awal daripada tempoh dua tahun," katanya.

Beliau berkata, graduan perubatan berdaftar dengan SPA yang belum ditawarkan latihan siswazah sehingga Disember lalu adalah 1,333 orang dan mereka akan dilantik pada minggu ketiga Ogos depan.

Sementara itu, graduan yang berdaftar dan berjaya dalam tapisan SPA sehingga 27 Jun lalu adalah seramai 1,847 orang dan urusan pelantikan mereka akan dllaksanakan secara berfasa setiap dua bulan sekali bermula Oktober depan.

Berita Harian X