Rabu, 18 Julai 2018 | 11:31pm
Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian TV Media Prima, Johan Ishak (kiri) menunjukkan lukisannya kepada pengunjung yang hadir pada Pameran Caricreatures di Galeri Prima, Balai Berita, Bangsar. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Johan pamerkan Caricreatures di Galeri Prima Balai Berita

KUALA LUMPUR: Sebanyak 80 lukisan karya Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN), Johan Ishak dipamerkan menerusi pameran solonya berjudul Caricreatures di Galeri Prima Balai Berita, Bangsar.

Pameran solo kedua Johan itu yang bertemakan 'Pop Art' dengan lukisan bermotifkan haiwan terpilih bermula hari ini hingga 10 Ogos.

Johan berkata, hasil lukisan dipamerkan kali ini berbeza dengan karyanya sebelum ini yang lebih kontemporari dan ekspresi.

"Karya kali ini lebih ringkas dan mudah difahami kerana memaparkan lukisan digital 80 jenis haiwan yang berbeza karakter setiap satu. Ia juga mewakili zodiak China dan mengimbau nama panggilan kawan ketika zaman kanak-kanak.


Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian TV Media Prima, Johan Ishak bersama ibu bapanya yang hadir pada Pameran Caricreatures di Galeri Prima, Balai Berita, Bangsar. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Sebelum ini lukisan saya lebih kepada minyak dan cat akrilik. Tetapi kali ini saya hanya menggunakan pen stylus di telefon bimbit Samsung Note dan dipindahkan ke komputer sebelum dicetak ke kanvas," katanya yang ditemui selepas pelancaran pameran Caricreatures, hari ini.

Menurut Johan, beliau menghasilkan lukisan itu pada 2016 dan 2017 sempena kelahiran anak ketiganya.

"Lukisan ini dihasilkan selepas isteri selalu merungut saya terlalu sibuk dan mengambil masa yang lama menyiapkan sesuatu lukisan menggunakan minyak dan cat akrilik.


Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian TV Media Prima, Johan Ishak (kiri) menunjukkan lukisannya kepada pengunjung yang hadir pada Pameran Caricreatures di Galeri Prima, Balai Berita, Bangsar. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Sebab itu kali ini saya memilih lukisan digital yang lebih mudah dan cepat. Lagipun ia sesuai dengan karakter kanak-kanak yang sukakan kepelbagaian warna dan lukisan lebih ceria," katanya.

Sebahagian hasil jualan lukisan itu akan disalurkan kepada Tabung Bersamamu TV3 sebagai tanggungjawab sosial korporat bagi membantu golongan memerlukan seperti menyediakan platform kepada anak muda dan pelukis berpengalaman bagi mempamerkan hasil tangan mereka.

Maklumat lanjut layari buanaseni.blogspot.com.my.

Berita Harian X