Isnin, 16 Julai 2018 | 4:33pm
MENTERI Pendidikan Dr Maszlee Malik. - Foto BERNAMA
MENTERI Pendidikan Dr Maszlee Malik. - Foto BERNAMA

Wujud prejudis terhadap UEC - Maszlee

KUALA LUMPUR: Sikap prejudis terhadap Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) menyebabkan usaha kerajaan mengiktiraf sijil itu menimbulkan pelbagai persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata ada pihak menganggap UEC meminggirkan nilai Malaysia sehingga mewujudkan pandangan serong terhadap sijil berkenaan.

"Persoalannya, sejauh manakah kita melihat isu bahasa kebangsaan dan perpaduan sebagai tema utama (dalam UEC).

"Kadang-kadang saya rasa ia agak kurang kita bincangkan sehingga menyebabkan banyak persepsi timbul kerana masih kabur. Ramai pihak menyangka, (pihak) yang inginkan UEC menolak bahasa kebangsaan dan tidak inginkan perpaduan

"Kita (kerajaan) terlebih dahulu kena selesaikan isu bahasa kebangsaan dan perpaduan supaya tidak timbul prejudis. Ini kerana kebanyakan khabar angin yang timbul adalah disebabkan prejudis," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen selepas sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Ditanya, adakah Kementerian Pendidikan meletakkan tempoh tertentu untuk mengiktiraf UEC, Maszlee berkata, usaha itu memerlukan masa.

Beliau menegaskan, hal ini disebabkan pihaknya perlu melihat UEC secara menyeluruh bersama pihak berkepentingan.

"Kajian ini (UEC) kena lihat dengan pelbagai pihak berkepentingan. Jadi, perlu ambil masa," katanya.

Berita Harian X