Jumaat, 6 Julai 2018 | 7:17pm
PENGARAH dan Pengkritik filem, Mansor Puteh, 64, yang menerima sijil pengiktirafan atas sumbangannya menderma darah sebanyak 500 kali, Selasa lalu. - Foto Nstp
PENGARAH dan Pengkritik filem, Mansor Puteh, 64, yang menerima sijil pengiktirafan atas sumbangannya menderma darah sebanyak 500 kali, Selasa lalu. - Foto Nstp
PENGARAH dan Pengkritik filem, Mansor Puteh, 64, yang menerima sijil pengiktirafan atas sumbangannya menderma darah sebanyak 500 kali, Selasa lalu. - Foto Nstp
PENGARAH dan Pengkritik filem, Mansor Puteh, 64, yang menerima sijil pengiktirafan atas sumbangannya menderma darah sebanyak 500 kali, Selasa lalu. - Foto Nstp

Mansor Puteh tidak pernah jemu derma darah

KUALA LUMPUR: Pengarah dan pengkritik filem serta budaya, Mansor Puteh menegaskan beliau sepatutnya mampu menderma darah sebanyak 800 kali seterusnya mencipta rekod dunia sebagai individu paling banyak berbuat demikian.

Bagaimanapun, impian itu tertangguh hampir 12 tahun kerana menghadapi masalah kesihatan.

"Sepatutnya lebih 800 kali saya derma darah dan cipta rekod dunia. Tapi 12 tahun saya tangguh sebab jalani pembedahan dan mengambil ubat antibiotik," katanya.

Mansor, 64, sebelum itu menerima sijil pengiktirafan di atas sumbangannya menderma darah sebanyak 500 kali, Selasa lalu.

Beliau berkata, difahamkan rekod penderma darah paling banyak di Malaysia adalah 600 kali, tapi nama individu terbabit tidak pernah didedahkan oleh Pusat Darah Negara.

Mansor berkata, beliau mula aktif menderma darah ketika belajar di Tingkatan Enam dekat Malaysian Tutorial College, Petaling Jaya.

"Waktu itu saya sering menumpang motosikal rakan sekelas bernama Alex ke Sungei Wang untuk naik bas pulang ke rumah di Kampung Tunku.

"Satu hari dia yang pernah menderma darah, ajak saya derma darah di Hospital Universiti (Pusat Perubatan Universiti Malaya) dan selepas itu saya terus aktif melakukannya," katanya dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Mansor, sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Colombia, Amerika Syarikat (AS) pada 13 Ogos 1978, beliau menderma darah sebanyak enam kali di beberapa hospital, termasuk Hospital Asunta, Petaling Jaya dan di Hospital Melaka.

"Di AS, saya tidak berpeluang untuk menderma darah kerana kesibukan sebelum menjalani tiga pembedahan di kaki akibat tumor.

"Apabila balik ke Malaysia pada Februari 1982, saya juga tidak boleh menderma darah kerana mengambil ubat antibiotik sebelum aktif semula pada 1994 hingga kini. Selain menderma darah merah, saya kini beralih derma plasma atau platelet," katanya.

Dalam pada itu, beliau sedikit kecewa dengan tahap kesedaran masyarakat untuk menderma darah di negara ini yang masih rendah.

"Jika dikira, saya rasa sepanjang hidup saya, 90 hari dihabiskan untuk pergi dan balik menderma darah jika. Ini kerana sejam setengah diperlukan untuk menderma plasma atau platelet darah berbanding darah biasa, 10 minit.

"Sekali kita menderma darah, mampu menyelamatkan tiga nyawa. Adakah penerima darah berterima kasih kepada penderma?" katanya yang kini menderma darah dua minggu sekali.

Mansor turut berkongsi gambar terbaru beliau menderma darah di PDN pada 2 Julai lalu di Facebooknya dengan menulis status 'Derma darah buat kali ke 500 semalam' yang mendapat pujian netizen.

Samsudin Ahmad, misalnya mengucapkan tahniah kepada beliau dengan menyatakan: "Banyak nyawa manusia yang telah tuan selamatkan. Alhamdulillah. Moga tuan terus kekal sihat walafiat. Isya-Allah," katanya.

Sufian Kamaruddin pula berharap usaha Mansor dicontohi masyarakat.

"Semoga amalan tuan yang istiqamah ini beroleh rahmat Illahi dunia dan di akhir Insya-Allah. Dan supaya ini dapatlah jadi dorongan buat yang lain-lain untuk ikuti contoh yang amat mulia ini," katanya.

Mengulas lanjut, Mansor berkata, beliau tidak berniat menunjukkan kehebatan sebaliknya untuk memotivasikan masyarakat untuk melakukan perkara sama.

"Kita perlu ingat benda ini bagus dan tidak rugi kita derma darah. Kita akan dapat darah baru dan kesihatan yang baik," katanya.

Mendapat pendidikan awal dalam bidang komunikasi massa dari Institut Teknologi Mara (ITM), Mansor pernah menjadiwartawan sebelum melanjutkan pengajian dalam jurusan Master of Fine Arts in Film Directing, Universiti Columbia pada 1978.

Beliau pernah mengarahkan filem berjudul Seman pada 1988, selain menghasilkan dokumentari 48 minit mengenai Tunku Abdul Rahman bertajuk Residency Years atau Bertahun di Residensi.

Berita Harian X