Selasa, 3 Julai 2018 | 11:08am
MUHAMMAD Illaham Ishak (kiri) bersama Dr Mohazmi Mohamed dan Zainudin Lot (dua dari kanan) serta pemandu arah (kanan) meraikan kejayaan menawan puncak Carstensz Pyramid, gunung tertinggi di Benua Australasia. - Foto ihsan KJAM
MUHAMMAD Illaham Ishak (kiri) bersama Dr Mohazmi Mohamed dan Zainudin Lot (dua dari kanan) serta pemandu arah (kanan) meraikan kejayaan menawan puncak Carstensz Pyramid, gunung tertinggi di Benua Australasia. - Foto ihsan KJAM

Lima pendaki Malaysia tawan puncak Carstensz Pyramid

PUTRAJAYA: Lima pendaki daripada Kelab Jelajah Alpine berjaya menawan gunung tertinggi Carstensz Pyramid, 4,884 meter (m) dari paras laut di benua Australasia, Sabtu lalu, pada jam 11 pagi waktu Malaysia.

Kejayaan menakluki puncak Carstensz Pyramid itu melengkapkan pendakian dua ahli kumpulan terbabit, Muhammad Illaham Ishak, 42 dan Zainudin Lot, 42, menawan lima daripada tujuh puncak tertinggi di tujuh benua.

Terdahulu, mereka berdua berjaya menawan Gunung Everest di Nepal, Gunung Elbrus (Russia), Gunung Kilimanjaro (Tanzania) dan Gunung Aconcagua di Argentina.

Sementara itu, tiga pendaki lain yang berjaya sampai ke puncak Cartenz Pyramid ialah Ayob Yahaya, 55; Dr Zambri Jamingan, 49; dan Dr Mohazmi Mohamed, 49.

Muhammad Illaham yang juga presiden kelab itu berkata, untuk sampai ke puncak Carstensz Pyramid, ia bukanlah satu laluan yang mudah kerana mereka perlu mendaki dalam cuaca tidak menentu seperti angin, salji dan hujan.

"Kami memulakan ekspedisi ini pada 26 Jun lalu dengan dibantu oleh dua penunjuk arah. Pendakian sangat sukar dan 90 peratus daripadanya perlu melalui rekahan batu. Selain itu keseluruhan pendakian ini juga banyak menggunakan tali.

"Dua penunjuk arah yang bersama kami mengatakan untuk sampai ke puncak, kami perlu melalui pendakian yang sangat sukar. Jika dapat melepasi laluan berkenaan, kami akan berjaya tiba ke puncak dengan selamat," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Muhammad Illaham berkata, selain perlu melalui rekahan batu, batu dan pasir yang terdapat di laluan berkenaan juga menjadi antara kekangan untuk mereka bergerak lebih pantas.

Katanya, sekiranya tidak berhati hati, batu dan pasir yang terkena pada muka akan menyebabkan kecederaan walaupun hanya sebesar ibu jari.

"Memang ada ahli kumpulan yang sudah mahu menyerah dan tidak mahu meneruskan perjalanan, tetapi syukur mereka tetap meneruskan misi," katanya.

Beliau berkata, ketika berada di ketinggian antara 4,609m hingga 4,884m, mereka terpaksa melalui tiga jurang yang amat berbahaya.

"Jurang pertama ialah Tyrolean atau Tribridge sepanjang 50m, jurang kedua, 'monkey cross' dan ketiga, kami perlu melompat sepanjang 10 meter.

"Alhamdulillah, kami berjaya melintasi tiga jurang terbabit dan pada jam 10 pagi waktu Indonesia, dua ahli kumpulan sudah tiba ke puncak, diikuti ahli kumpulan lain.

"Difahamkan, tidak kurang 10 rakyat Malaysia pernah mendaki puncak ini dan kami adalah kumpulan terbesar seramai lima orang tiba di puncak dalam satu ekspedisi," katanya.

Berita Harian X