Isnin, 2 Julai 2018 | 9:13pm

Pihak berkuasa teliti elemen antun kes kahwin bawah umur

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta pelbagai agensi penguatkuasaan sedang meneliti jika wujud elemen antun (sexual grooming) dalam kes perkahwinan bawah umur membabitkan budak perempuan berusia 11 tahun di Gua Musang, Kelantan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata elemen antun adalah satu kesalahan mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan kerajaan perlu melindungi kebajikan kanak-kanak berkenaan walaupun dia bukan warga negara Malaysia.

"Kita mesti melindunginya seperti kita perlu melindungi kanak-kanak pelarian dan kanak-kanak tidak sah taraf kerana mereka kanak-kanak. Perkara ini juga berlaku di tanah air kita.

"Jika berlaku pengabaian oleh penjaga, undang-undang Malaysia akan berkuat kuasa," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis Aidilfitri kementerian itu, di sini, hari ini.

Kisah perkahwinan budak perempuan berusia 11 tahun yang dikatakan warga Thailand dengan lelaki tempatan berusia 41 tahun itu tersebar luas sejak beberapa hari lalu dan mengundang reaksi pelbagai pihak.

Siasatan awal Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan mendapati perkahwinan itu dijalankan di Golok, Thailand dan ibu bapa kanak-kanak itu juga adalah warga negara Thailand.

Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata siasatan kes itu masih berjalan dan pihaknya sudah bertemu dengan kanak-kanak itu dan ibu bapanya, serta pihak lelaki untuk mendapatkan perincian lanjut.

Beliau berkata, kementeriannya juga mengadakan mesyuarat berhubung perkara itu, kelmarin, yang turut membabitkan wakil Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK).

"JAHEIK dilaporkan tidak mempunyai rekod pendaftaran perkahwinan itu. Berdasarkan laporan media dan kenyataan isteri kedua lelaki berkenaan, dipercayai pernikahan itu dilakukan di Golok, Thailand.

"Bagaimanapun, sehingga hari ini, pihak berkuasa masih belum mendapat bukti bahawa pernikahan itu berlangsung di Golok seperti yang didakwa," katanya.

Beliau berkata, perkahwinan di bawah usia 16 tahun bagi wanita memerlukan kebenaran mahkamah, Ketua Menteri atau Menteri Besar dan persetujuan ibu bapa mereka, namun hingga hari ini, tiada kelulusan berkaitan dimohon sama ada oleh pasangan atau ibu bapa kanak-kanak berkenaan.

Katanya, berdasarkan peruntukan undang-undang, perkahwinan itu tidah sah kerana satu pihak berusia di bawah usia minimum perkahwinan, selain Seksyen 90(c) Kanun Keseksaan turut menyebut bahawa kerelaan bukanlah kerelaan bagi kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

"Justeru, menjadi tanggungjawab lelaki berkenaan untuk membuktikan status perkahwinan itu sah kepada pihak berkuasa.

"Selagi tiada bukti dikemukakan, kerajaan akan menganggap mereka sebagai pasangan yang belum berkahwin.

"Hubungan dan interaksi antara lelaki dan kanak-kanak itu tertakluk kepada pelbagai undang-undang mengenai perlindungan kanak-kanak.

"Walaupun ada laporan mengatakan bahawa ibu bapa kanak-kanak berkenaan mengizinkan perkahwinan itu dan hubungan hanya akan berlaku selepas lima tahun ketika kanak-kanak berusia 16 tahun, ia mesti disahkan dan kanak-kanak itu perlu diperiksa (oleh ahli perubatan)," katanya.

DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa sidang media selepas majlis Salam Aidilfitri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersama Kumpulan Sasar. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa sidang media selepas majlis Salam Aidilfitri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersama Kumpulan Sasar. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa memasak cucur selepas majlis Salam Aidilfitri KPWKM bersama Kumpulan Sasar KPWKM dan turut bersama Chef Liza (kanan). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa memasak cucur selepas majlis Salam Aidilfitri KPWKM bersama Kumpulan Sasar KPWKM dan turut bersama Chef Liza (kanan). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X