Jumaat, 8 Jun 2018 | 6:15pm
MENTERI Tenaga Manusia, M Kulasegaran menyerahkan pencen bulanan faedah orang tanggungan kepada Rozaini Ibrahim di Taiping, hari ini. - Foto L Manimaran
MENTERI Tenaga Manusia, M Kulasegaran menyerahkan pencen bulanan faedah orang tanggungan kepada Rozaini Ibrahim di Taiping, hari ini. - Foto L Manimaran

Ops Kesan buru majikan tak daftar pekerja 1 Ogos

TAIPING: PERKESO akan melancarkan Ops Kesan bermula 1 Ogos ini, bagi mengesan majikan yang gagal mendaftar dan membuat caruman untuk pekerja masing-masing.

Menteri Tenaga Manusia, M Kulasegaran, berkata hingga Disember 2017, seramai 6.8 juta pekerja aktif yang sedang bekerja dengan 435,801 majikan, berdaftar dengan PERKESO di seluruh negara.

Katanya, daripada jumlah itu, dianggarkan sebanyak 10 peratus majikan masih gagal mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka.

"Sekiranya gagal mendaftar, mereka bakal berdepan dengan denda sebanyak RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-dua sekali.

"Perkara ini banyak terjadi, tetapi saya sudah beritahu kepada PERKESO yang kita tidak mahu ambil (bawa) majikan pergi ke mahkamah.

"Untuk apa? Hukum mereka, simpan dalam penjara buat apa? Kita mahu melihat pembabitan antara mereka dan PERKESO. Kita mahu mewujudkan suasana mesra perniagaan.

"Saya tahu antara alasan yang diberikan adalah perniagaan tidak bagus tetapi mereka kena faham yang kita (PERKESO) akan tolong. Ini bukan alasan untuk tidak mendaftar pekerja mereka," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan pencen bulanan faedah orang tanggungan kepada Rozaini Ibrahim, 43, selepas suaminya, Shuaib K K Mohamed Unny meninggal dunia dalam kemalangan di Pagoh, Johor pada Selasa lalu.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Kulasegaran berkata, melalui Ops Kesan yang dilaksanakan pada tahun 2015 didapati sebanyak 1,464 majikan masih gagal mendaftar, diikuti 1,608 majikan (2016) dan 1,544 majikan (2017).

"Dalam undang-undang, sama ada sesuatu perniagaan yang dijalankan itu bagus atau tidak, pekerja mesti didaftar untuk menjaga kebajikan mereka. Kita tidak akan kompromi," katanya.

Beliau berkata, kematian Shuaib yang juga pemandu bas ekspres selama lebih 20 tahun dan isterinya layak menerima bantuan adalah contoh terbaik pentingnya caruman dibuat dengan PERKESO.

"Keluarganya juga akan mendapat pencen bulanan sebanyak RM1,450 meliputi 90 peratus daripada gaji arwah.

"Mereka layak menerima bantuan ini kerana suaminya telah meninggal dunia semasa menjalankan tugas. Ini satu contoh di mana majikan perlu mengambil iktibar untuk mendaftar pekerja mereka.

"Kegagalan majikan untuk berdaftar dan menjelaskan caruman kepada PERKESO akan mengakibatkan pekerja teraniaya dan dinafikan hak mereka untuk mendapat perlindungan keselamatan sosial," katanya.

Sementara itu, Rozaini yang juga pekerja kilang berkata beliau bersyukur dengan bantuan yang diberi dengan proses dalam masa yang singkat itu akan digunakan untuk tiga orang anaknya yang berusia 16, 20 dan 22 tahun.

"Duit ini buat anak-anak yang sekarang masih belajar dan saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada PERKESO kerana membantu saya dan keluarga," katanya.

Dalam kemalangan itu, Shuaib dan dua penumpang maut apabila bas ekspres dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan berat di Kilometer (KM) 142, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran persimpangan Pagoh.

Berita Harian X