Khamis, 31 Mei 2018 | 6:49pm
CHOW Kon Yeow mengumumkan bahawa barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri Pulau Pinang akan menyumbangkan 10 peratus gaji mereka kepada Tabung Harapan Malaysia pada sidang akhbar di pejabatnya, Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), hari ini. - Foto BERNAMA
CHOW Kon Yeow mengumumkan bahawa barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri Pulau Pinang akan menyumbangkan 10 peratus gaji mereka kepada Tabung Harapan Malaysia pada sidang akhbar di pejabatnya, Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), hari ini. - Foto BERNAMA

10% gaji EXCO Pulau Pinang untuk THM

GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan pemotongan 10 peratus gaji Ketua Menteri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) bermula Jun ini untuk disumbangkan kepada Tabung Harapan Malaysia (THM) .

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata langkah itu membabitkan sejumlah RM13,526.80 dapat disumbangkan ke dalam THM setiap bulan.

Beliau berkata, keputusan itu selari dengan pengumuman pemotongan gaji Menteri Kabinet sebanyak 10 peratus, selain ia turut dipersetujui bersama dalam mesyuarat EXCO, semalam.

"Pemotongan 10 peratus ini akan diteruskan sehingga satu pengumuman lain untuk menghentikannya.

"Diharapkan keputusan ini akan membantu meringankan beban hutang Kerajaan Persekutuan yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu," katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, hari ini.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad mengumumkan pemotongan gaji sebanyak 10 peratus kepada semua Jemaah Menteri, berkuatkuasa serta merta.

Pemotongan gaji itu turut diikuti kerajaan Johor dan Kedah yang mengumumkan tindakan sama kepada semua EXCO, semalam.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan mengkaji sama ada untuk mengambil langkah sama dengan Kerajaan Pusat, iaitu membatalkan pelaksanaan projek mega seperti projek Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang.

Bagaimanapun, katanya, keputusan itu masih belum muktamad dan ia akan dibincangkan pihak berkepentingan.

Pada 2015, kerajaan DAP Pulau Pinang mengumumkan PIP yang merangkumi pembinaan kemudahan pengangkutan awam Transit Aliran Ringan (LRT), tiga lebuh raya berkembar dan projek terowong dasar laut.

Pelan itu turut membabitkan pembinaan tiga pulau buatan di selatan Pulau Pinang, yang masing-masing berkeluasan 809 hektar, 526 hektar dan 324 hektar bagi tujuan perindustrian, perumahan serta komersial untuk membiayai kos PIP.

Berita Harian X