Khamis, 31 Mei 2018 | 6:44pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Ramai mahu MRT3 dibatalkan - Tinjauan pendapat

KUALA LUMPUR: Seramai 3,940 daripada 6,924 responden pelayar maya bersetuju kerajaan membatalkan projek Transit Aliran Massa Laluan 3 (MRT3) semalam, manakala 2,984 lagi berharap projek berkenaan dapat diteruskan.

Keputusan itu diperoleh hasil tinjauan pendapat dalam talian di laman twitter tiga akhbar kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) iaitu New Straits Times (NST), BH dan Harian Metro (HM) selama 24 jam.

Tinjauan dalam talian itu bertajuk "Wajarkah Projek MRT3 dibatalkan" dengan pilihan jawapan ya atau tidak.

Undian bagi mendapatkan jawapan itu di twitter @NST_Online, @bharianmy, @hmetromy mula dibuka selama 24 jam sejak jam 5 petang semalam sebelum berakhir jam 5 petang tadi.

Twitter @NST_Online menunjukkan dapatan 1,948 undian dan daripada jumlah itu, sebanyak 57 peratus responden atau 1,110 menyokong pembatalan projek manakala bakinya 43 peratus (838 responden) berharap MRT3 diteruskan.

Di Twitter @bharianmy, 3,679 netizen mengundi dengan 54 peratus (1,987 responden) mahu ia dibatalkan berbanding 46 peratus (1,692 responden) mahu projek berkenaan diteruskan.

@azia_sham2007 berkata, ia satu projek dengan kos yang tinggi dan wajar dibatalkan dalam keadaan kewangan kerajaan yang di luar kemampuan ketika ini.

"Sekarang kita tak mampu, wajar kita batalkan. Bila negara mempunyai bajet yg (yang) cukup, bolehlah diteruskan kembali projek itu," katanya.

@MJamers007 pula berpendapat, MRT3 wajar diteruskan kerana ia adalah kebajikan dan kemudahan kepada rakyat disamping dapat menjana pendapatan kepada kerajaan.

Sementara itu, di Twitter @hmetromy, 1,297 pelayar maya telah memberi pandangan dengan 65 peratus (843 responden) daripadanya berkata MRT3 wajar dihentikan selain 35 peratus (453 responden) bersetuju MRT3 diteruskan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di pejabatnya semalam berkata, selain MRT3, turut dibatalkan adalah Projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), namun keputusan akhir tertakluk kepada perbincangan dengan Singapura.

Katanya kerajaan komited untuk mengurangkan pinjaman negara dengan membatalkan projek mega yang menelan kos berbilion ringgit seperti projek HSR dan MRT3 selepas mengambil kira implikasi kewangan kerajaan.

MRT3 dirancang kerajaan terdahulu untuk menjadi laluan rel transit ke-13, menggunakan sistem automatik sepenuhnya yang kelima dan sistem rel tanpa pemandu di Lembah Klang.

Ia adalah projek laluan kereta api bandar dengan jarak 40 kilometer (km) yang dijangka mula dibina pada suku ketiga 2019, mempunyai 26 stesen dengan 19 laluan bawah tanah dan siap pada 2025.

Laluan MRT3 membabitkan kawasan yang berkapasiti tinggi sekitar Greater KL dan akan menghubungkan dengan lebih banyak stesen sedia ada bagi melengkapkan jaringan pengangkutan awam di ibu negara.

Berita Harian X