KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) meraikan 161 anak yatim dari tiga buah rumah kebajikan pada majlis berbuka puasa di Menara PNB, di sini malam ini.
Tiga buah rumah kebajikan itu ialah Asrama Damai Anak Yatim Kuang, Rawang; Pertubuhan Anak Yatim Kuala Langat, Banting dan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim / Miskin Klang, Klang di Selangor.
Pada majlis berkenaan, PNB menyampaikan sumbangan duit raya sebanyak RM100, beg sandang dan selimut kepada setiap anak yatim manakala setiap rumah anak yatim turut menerima sumbangan RM10,000 daripada PNB.
Penyampaian sumbangan disempurnakan Pengerusi PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar, yang turut ditemani Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Rahman Ahmad.
Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Abdul Wahid berkata majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim itu adalah kesinambungan majlis yang diadakan pada setiap tahun untuk meraikan dan merapatkan hubungan silaturrahim di antara PNB dan anak yatim.
Beliau turut berpesan kepada semua anak yatim yang hadir supaya belajar bersungguh-sungguh dan menghargai setiap jasa dan pengorbanan guru kerana tanggungjawab mereka adalah amat besar dan tidak ternilai.
"Kami juga berharap sumbangan diberikan PNB ini dapat meringankan beban rumah anak yatim," katanya.