Jumaat, 25 Mei 2018 | 11:13am
KETUA Pegawai Eksekutif Universal Crescent Standard Centre (UCSC), Shayaa Othman (kanan) menyerahkan sijil Anugerah 'Islamic Quality Standard for Muslim Friendly Destination to Terengganu State kepada Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar Terengganu dan Portfolio Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri Terengganu bersama penggiat-penggiat Industri Pelancongan di Duyong Marina & Resort Pulau Duyong. - Foto Rozainah Zakaria

Terengganu diiktiraf destinasi mesra muslim

KUALA TERENGGANU: Sektor pelancongan Terengganu mencatat satu lagi kejayaan apabila diiktiraf sebagai Destinasi Mesra Muslim, selain Bandar Acheh, Indonesia.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata pengiktirafan Anugerah Standard Kualiti Islam (IQS) daripada Universal Crescent Standard Center (UCSC) itu menjadi pemangkin untuk kerajaan negeri mencapai sasaran menjadikan negeri penyu ini sebagai Koridor Pelancongan Islam Antarabangsa.

Beliau berkata, pengitirafan yang mengujakan itu juga diharap dapat menarik lebih ramai pelancong dari Asia Barat untuk berkunjung ke negeri ini.

"Kini negara menerima ramai pelancong dari Asia Barat, namun sebahagian besar mereka ini tidak datang ke Terengganu.

"Jadi pengiktirafan sebagai Destinasi Mesra Muslim ini diharap dapat menjadi mekanisme untuk menarik pelancong Asia Barat untuk datang ke Terengganu.

"Kalau diikutkan Terengganu mempunyai tarikan pelancongan serba lengkap dengan jajaran pantai dan pulaunya yang tercantik, alam semulajadi yang memukau selain terkenal sebagai tapak penyebaran Islam, namun masih kurang menerima pelancong dari negara Asia Barat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Anugerah Standard Kualiti Islam daripada UCSC dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Portfolio Pelancongan di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman dan Pengarah Jabatan Pelancongan negeri, Tun Ahmad Faisal Tun Abd Tun Razak.

Mengenai kemungkinan tema pelancongan Islamik itu akan menjejaskan kemasukan pelancong bukan Islam terutama dari negara Barat dan China, beliau berkata ia persepsi salah yang perlu diperbetulkan.

"Sebenarnya ramai tidak faham dalam bidang pelancongan juga kita ada pertimbangan Islam dan sudah tentu kerajaan PAS mahu menitikberatkan pelaksanaan tema Islam itu dalam semua aspek.

"Mungkin di awalnya ada sedikit rasa kurang selesa bagi pelancong bukan Islam, tetapi saya yakin apabila mereka faham mengenai perkara ini, ia tidak akan menjadi masalah," katanya.

ends

Berita Harian X