Rabu, 23 Mei 2018 | 5:11pm

Waris terima bantuan PERKESO

KUANTAN: Beban waris bekas penyampai radio Hot FM Terengganu, Allahyarham Mohd Rafly Rahamat, yang meninggal dunia 19 Mei lalu diringankan menerusi faedah pengurusan mayat berjumlah RM2,000 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Selain itu, ibu bapanya, Rahamat Sidek, 54, dan Zaleha Pilus, 53, turut menerima pencen bulanan daripada PERKESO yang akan dibayar dalam tempoh terdekat.

Pengarah PERKESO Pahang, Abu Hurairah Ahmad, berkata pencen penakat itu layak diterima waris Mohd Rafly kerana beliau pernah bekerja dan diharap dapat meringankan beban perbelanjaan warisnya.

"Sebaik menerima maklumat berhubung kematiannya, skuad PERKESO Prihatin terus melakukan semakan dan mendapati waris layak menerima pencen berkenaan.

"Pencen ini dibayar kepada ayah dan ibu kerana arwah belum berkahwin," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan faedah pengurusan mayat PERKESO kepada Rahamat dan Zaleha di kediaman mereka di FELDA Bukit Kuantan di sini, hari ini.

Mohd Rafly, yang juga bekas penyampai radio Manis FM meninggal dunia pada 19 Mei lalu selepas menderita akibat penyakit misteri sejak beberapa bulan lalu.

Sementara itu, Rahamat berkata, mereka tidak menyangka akan menerima pencen bulanan daripada PERKESO kerana anaknya itu sudah menamatkan perkhidmatan sebagai penyampai radio.

Katanya, mereka sekeluarga merasai pemergian Mohd Rafly terutama pada Ramadan kerana beliau seorang yang ceria serta sentiasa menggembirakan seluruh ahli keluarga.

"Di sebalik kehilangannya, kami menerima pencen bulanan yang membuatkan perasaan ini begitu sayu dan sentiasa mendoakan yang terbaik buatnya," katanya.

PENGARAH Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Pahang, Abu Hurairah Ahmad (kanan) menyampaikan cek faedah pengurusan mayat PERKESO kepada ayah dan ibu Allahyarham Mohd Rafly, Rahamat Sidek dan Zaleha Pilus di FELDA Bukit Kuantan. Mohd Rafly Rahamat adalah bekas penyampai Radio Hot FM Terengganu dan Manis FM yang meninggal dunia akibat penyakit misteri. - Foto Asrol Awang

Berita Harian X