Sabtu, 19 Mei 2018 | 8:57pm
TENGKU Abdullah Sultan Ahmad Shah menyampaikan sumbangan pada Majlis Berbuka Puasa dan Pengurniaan Sumbangan Kepada Golongan Memerlukan di Masjid Kampung Paya Bungor, dekat sini. - Foto Nik Sukry Ramli

Elak budaya fitnah, kekalkan keamanan

KUANTAN: Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, menitahkan semua pihak menghormati keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu dan berharap keamanan negara dapat dikekalkan.

Baginda turut mengingatkan supaya tiada pihak cuba mencetuskan suasana tidak tenteram dengan menyebarkan fitnah dan berita tidak benar bagi menjejaskan hubungan baik antara kaum di negara ini.

"Janganlah ada yang mengambil kesempatan dengan cuba mencetuskan ketidakselesaan dalam kalangan rakyat.

"Semua pihak perlu mengenepikan sentimen dan emosi bagi memastikan keharmonian kekal.

"Kita tidak mahu ada yang ghairah mengejar agenda tertentu sehingga mengorbankan perpaduan negara dan mengambil jalan pintas dengan mempolitikkan semua perkara dalam aspek kehidupan," titah baginda.

Tengku Abdullah bertitah pada Majlis Berbuka Puasa dan Pengurniaan Sumbangan Kepada Golongan Memerlukan di Masjid Kampung Paya Bungor, dekat sini, petang tadi.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar, Abdul Rahim Muda.

Kira-kira 500 penduduk hadir pada majlis itu.

Baginda turut menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak pada majlis berkenaan.

Berita Harian X