Rabu, 9 Mei 2018 | 4:46pm
SEORANG petugas wanita parti PAS mencuri tumpuan apabila menunggang motosikal berkuasa tinggi di Bandar Springhill. - Foto Mohd Khidir Zakaria
SEORANG petugas wanita parti PAS mencuri tumpuan apabila menunggang motosikal berkuasa tinggi di Bandar Springhill. - Foto Mohd Khidir Zakaria

Petugas PAS berpurdah tunggang motosikal berkuasa tinggi

PORT DICKSON: Seorang petugas wanita parti PAS mencuri tumpuan apabila menunggang motosikal berkuasa tinggi ketika membantu jentera partinya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Bandar Springhill di sini, hari ini.

Siti Salina Samaun, 37, atau lebih dikenali sebagai Cikgu CT itu menunggang motosikal Kawasaki Z250 untuk menjalankan tugas sebagai 'runner' bagi jentera pilihan raya parti politik diwakilinya.

"Saya ditugaskan meronda membantu jentera parti di seluruh kawasan Parlimen Port Dickson. Jika saya bawa kereta, pergerakan menjadi lambat kerana jalan sesak di setiap pusat mengundi yang perlu saya kunjungi, jadi lebih senang menunggang motosikal.

"Memang saya perasan setiap kali sampai di pusat mengundi, banyak mata memandang. Menunggang motosikal adalah kebiasaan kerana saya juga menyertai kelab motosikal di sini," kata ibu kepada empat anak berusia lima hingga 13 tahun itu.

Katanya, dia menyertai kelab N9 Edubiker dan kerap berkonvoi jika ada kesempatan kerana tugas sebagai Guru Besar Pusat Pendidikan Asas Tunas Islam (PASTI) Bandar Springhill memerlukan dia memilih masa sesuai.

"PRU-14 ini saya ditugaskan sebagai 'runner'. Seronok juga walaupun sedikit penat. Lagi pun bukan selalu, lima tahun sekali kita membuat pilihan raya umum.

"Kebetulan kali ini PAS bertanding di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen Port Dickson. Banyak kerja dan tugasan perlu dilaksanakan.

"Bagi saya ia satu kepuasan dapat menyumbang tenaga membantu parti, soal kalah atau menang terpulang kepada rezeki, saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai ahli," katanya.

Berita Harian X