Isnin, 7 Mei 2018 | 12:01pm
MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir melepaskan peserta Janamanjung Fellowship Ride (JMFR) 2018 anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Taman Awam Teluk Batik. - Foto Muhaizan Yahya
MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir melepaskan peserta Janamanjung Fellowship Ride (JMFR) 2018 anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Taman Awam Teluk Batik. - Foto Muhaizan Yahya

JMFR dapat sambutan meriah

MANJUNG: Jelajah berbasikal Janamanjung Fellowship Ride (JMFR) 2018 yang berlangsung di Taman Awam, Teluk Batik, Lumut, baru-baru ini, mendapat sambutan meriah dengan kehadiran lebih 4,000 orang.

Daripada jumlah itu 1,300 adalah peserta, manakala 3,000 lagi pengunjung yang datang dari dalam dan luar negara.

Acara dianjurkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersama anak syarikat milik penuhnya, TNB Janamanjung Sdn Bhd, turut mendapat kerjasama dari Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Tourism Perak, Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri Perak dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mula diperkenalkan sejak 2008, ia menjadi acara tahunan negeri Perak sejak tiga tahun lalu dan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir Ahad lalu.

Sambil melahirkan rasa terima kasih kepada TNB diatas penganjuran acara itu, Zambry berkata, program seperti itu dapat merancakkan aktiviti di Lumut khususnya dan Manjung secara amnya sebagai destinasi pelancongan berasaskan sukan dan alam semula jadi.

"Ini dasar kerajaan negeri yang cuba dipopularkan selama ini. Alhamdulillah untuk pengetahuan semua, Perak untuk lima tahun berturut-turut mempunyai kehadiran pelancong dalam negara yang tertinggi di Malaysia.

"Saya ucapkan terima kasih kerana dengan adanya program besar seperti ini dapat menarik lebih ramai pelancong ke Perak seperti di Manjung yang menjadi destinasi utama domestik di negara kira.

Tambah aktiviti di Manjung

PEMAIN hoki kebangsaan, Tengku Ahmad Tajuddin, (kiri) berkongsi pengalaman bersama kanak-kanak pada karnival JMFR 2018. - Foto Muhaizan Yahya
PEMAIN hoki kebangsaan, Tengku Ahmad Tajuddin, (kiri) berkongsi pengalaman bersama kanak-kanak pada karnival JMFR 2018. - Foto Muhaizan Yahya

"Untuk masa akan datang, saya berharap acara ini dapat diperbesarkan. Program ini sangat bagus kerana ia dapat menambah aktiviti di daerah Manjung," katanya yang ditemui selepas pelepasan peserta JMFR.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman, Naib Presiden (Penjanaan) TNB, Datuk Zainudin Ibrahim dan Pengarah Urusan TNB Janamanjung, Datuk Shamsul Ahmad.

Roslan berkata, JMFR menjadi pilihan pengayuh yang gemar mengayuh secara santai sambil menikmati keindahan pemandangan di Perak tanpa mengira usia.

"Program ini mendapat sambutan daripada peserta seawal usia 7 tahun hingga 70 tahun. Selain menggalakkan aktiviti riadah yang dapat menyihatkan badan, JMFR diadakan bagi menyedarkan orang ramai bahawa penjanaan elektrik menggunakan arang batu di TNB Janamanjung adalah selamat kepada alam sekitar dan masyarakat tempatan.

"JMFR diadakan untuk mempromosikan Manjung, Lumut dan Teluk Batik sebagai lokasi pelancongan untuk orang ramai.

"Sebagai syarikat yang prihatin dalam operasi bisnesnya, TNB sentiasa mengutamakan keseimbangan ekologi dan alam sekitar di lokasi kami beroperasi," katanya.

JMFR kali ke-11 ini agak unik dengan penyertaan 14 atlet paralimpik negara, 10 Orang kurang upaya (OKU) penglihatan dan empat pemain hoki kebangsaan yang juga warga kerja TNB.

Acara JMFR 2018 memerlukan peserta berkayuh sejauh 147 kilometer (km) melewati Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah, Manjung serta kawasan sekitar Seri Manjung, Pasir Salak dan Ayer Tawar, Perak dan berhenti rehat di lima perhentian atau stesen air.

Peserta yang menyertai acara ini bukan sahaja membawa pulang medal tetapi berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah.

Sempena JMFR, lebih 60 gerai pameran disediakan untuk pengunjung antaranya gerai promosi Aplikasi MyTNB, Jelajah Pasukan Hoki TNB Thunderbolts dan beberapa gerai jualan produk tempatan termasuk kraf tangan dan makanan laut.

Manjung destinasi pelancongan, sukan

PENGURUS Rakan Perniagaan TNB Perak, Azlan Mohammad (kiri) menerangkan panduan Aplikasi Mudah Alih myTNB kepada Syakirah Ramlan dan Norfaizah Mansor (kanan) pada pameran TNB sempena Janamanjung Fellowship Ride (JMFR) 2018 di Taman Awam, Teluk Batik, Lumut. - Foto Muhaizan Yahya
PENGURUS Rakan Perniagaan TNB Perak, Azlan Mohammad (kiri) menerangkan panduan Aplikasi Mudah Alih myTNB kepada Syakirah Ramlan dan Norfaizah Mansor (kanan) pada pameran TNB sempena Janamanjung Fellowship Ride (JMFR) 2018 di Taman Awam, Teluk Batik, Lumut. - Foto Muhaizan Yahya

Sejak diperkenalkan pada 2008, acara Jelajah Berbasikal Janamanjung Fellowship Ride (JMFR) semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat sukan berbasikal dari dalam dan luar negara.

Sokongan orang ramai dalam acara ini dapat dilihat pada jumlah penyertaannya yang sentiasa meningkat dari tahun ke tahun. JMFR pada tahun ini berjaya menarik penyertaan 1,300 peserta.

Penyertaan bukan hanya membabitkan peminat sukan basikal dari Perak sebaliknya seluruh Malaysia dan luar negara seperti Indonesia, Singapura, Jepun dan beberapa negara Eropah.

Bagi memastikan penganjurannya mendapat sambutan, penganjur utama, Tenaga Nasional Berhad (TNB) sentiasa membuat penambahbaikan dengan membawa atlit daripada pasukan hoki kebangsaan dan atlit paralimpik untuk sama beraksi dalam acara itu.

Dengan penganjuran JMFR sekali gus menaikkan nama Manjung bukan saja dalam kalendar pelancongan tetapi sukan.

Kalau dulu Manjung lebih dikenali sebagai lokasi penjanaan elektrik kini tidak lagi kerana ia menjadi daya tarikan sebagai destinasi menarik untuk dikunjungi di Perak.

Erat silaturahim

PEMAIN hoki kebangsaan (dari kanan) Muhammad Shahril Saabah, Tengku Ahmad Tajuddin, Muhammad Amin Rahim, Syed Mohamad Syafiq dan Mohammad Hairi Abd Rahman menyertai JMFR 2018 di Teluk Batik, Lumut. - Foto Muhaizan Yahya
PEMAIN hoki kebangsaan (dari kanan) Muhammad Shahril Saabah, Tengku Ahmad Tajuddin, Muhammad Amin Rahim, Syed Mohamad Syafiq dan Mohammad Hairi Abd Rahman menyertai JMFR 2018 di Teluk Batik, Lumut. - Foto Muhaizan Yahya

Bagi pemain hoki kebangsaan, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, 32, acara JMFR dapat mengeratkan silaturahim antara komuniti di Manjung dengan TNB.

"Berbasikal kini menjadi budaya di negara ini dan kita dapat lihat banyak kumpulan menjalankan aktiviti berbasikal ketika ini," katanya yang menggunakan basikal yang disediakan TNB untuk JMFR.

Turut dibawa menyertai acara itu adalah Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, 23, yang pertama kali menyertai acara berbasikal.

"Saya biasa berbasikal pada hujung minggu dan ini kali pertama menyertai acara jarak jauh. Dengan kehadiran kami di acara ini, diharap dapat menarik lebih ramai orang menyertai JMFR," katanya yang mewakili negara di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan Sukan Komanwel di Gold Coast, baru-baru ini.

Ibarat latihan

Sementara itu, atlit paralimpik negara, Mohd Syazwan Roshdi, 21, menyifatkan penyertaan dalam acara itu ibarat latihan buatnya yang menyertai acara jalan raya dalam acara berbasikal.

"Saya memang atlit sukan berbasikal dan menyertai acara jalan raya," katanya yang mewakili negara di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Kakitangan Jabatan Perhutanan di Ipoh, Suki Mohd Zain, 50, yang menyertai sukan berbasikal sejak tujuh tahun lalu, menyokong usaha TNB menganjurkan JMFR.

"Ini pertama kali saya menyertai JMFR kerana kebiasaannya saya memasuki acara basikal bukit. Acara ini sangat baik dan perlu diteruskan lagi di masa akan datang," katanya.

Berita Harian X