X
Jumaat, 4 Mei 2018 | 3:35pm
YANG di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serta timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa membaca yasin yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syeikh Ismail Muhammmad di majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat dan Solat Hajat sempena Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XV di Masjid Putra, Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
YANG di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serta timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa membaca yasin yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syeikh Ismail Muhammmad di majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat dan Solat Hajat sempena Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XV di Masjid Putra, Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Pilih kerajaan secara bijak, waras

KUALA LUMPUR: Percaturan memilih 'nakhoda' dan kerajaan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) penting untuk menentukan kesinambungan kepemimpinan Islam bagi generasi akan datang.

Tanggungjawab yang kini di tangan lebih 14.8 juta pengundi itu sewajarnya tidak digunakan mengikut emosi, sebaliknya bersandarkan penilaian bijak dan pertimbangan waras serta adil.

Khatib Masjid Negara, Amru al-Haz Adnan, berkata sistem demokrasi berparlimen di Malaysia memperuntukkan hak rakyat dalam menentukan barisan pemimpin untuk menerajui tampuk pemerintahan negara.

"Tiga rumusan yang perlu dijadikan pegangan, iaitu pemimpin amanah dan berintegriti adalah antara faktor penting dalam memastikan kedaulatan sebuah negara.

"Kedua, rakyat bertanggungjawab memilih dan menentukan barisan kepimpinan yang berwibawa dalam mentadbir sebuah negara berdaulat.

"Ketiga, kedaulatan Islam dalam perlembagaan perlulah dikekalkan dan dipelihara demi kesejahteraan negara," katanya ketika membacakan khutbah Jumaat yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), di sini, hari ini.

Amru berkata, kedaulatan sebuah negara yang lazimnya terbentuk daripada tiga komponen iaitu wilayah, pemerintah dan rakyat adalah penting bagi menjamin kesejahteraan penduduk serta masyarakatnya.

Kedaulatan negara pula, katanya, mempunyai empat elemen penting mencakupi wilayah yang merdeka, kepemimpinan berwibawa, mempunyai tampuk pemerintahan dan perhubungan dengan negara luar serta cara hidup atau adat berteraskan identiti tersendiri.

"Fokus paling penting sebuah negara berdaulat itu seperti difirmankan oleh Allah ialah untuk mencapai Baldatun Toyyibah wa Rabbun Ghaffur (negeri yang subur dan makmur, adil dan aman), di dalam surah Saba' ayat 15.

"Sudut pandangan Islam menggariskan beberapa pandangan ulama dalam memberi takrif negara berdaulat, antaranya Imam As-Sakhsi dan Imam Muhamad Hasan As-Syaibani menegaskan Al-Daulah Al-Islamiah adalah tempat yang berada di bawah kekuasaan orang Islam.

"Tandanya ialah orang Islam aman tinggal di dalamnya. Menurut Imam Hasan Al-Naba' pula, Al-Daulah Al-Islamiah adalah negara di mana para pemimpinnya menunaikan kewajipan Islam, tidak melakukan maksiat dan mereka menjadi pelaksana hukum-hakam Islam," katanya.

Beliau berkata, sudut perundangan sebaliknya menggariskan negara berdaulat mempunyai empat kriteria, iaitu berhak memilih geopolitik dan menjalankan tadbir urus sendiri, selain berkuasa penuh menentukan hubungan diplomatik serta hubungan perdagangan dengan mana-mana negara atau individu.

Kriteria ketiga, katanya, membabitkan hak menggubal undang-undang negara dan berupaya menjalankan urusan pengadilan terhadap rakyatnya tanpa campur tangan negara luar, manakala keempat ialah mempunyai kuasa politik dalam kerajaan yang dilantik melalui pilihan atau persetujuan rakyat, bukan menerusi rampasan kuasa mahu pun kekerasan.

Khutbah Jumaat keluaran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pula menjelaskan tanggungjawab memilih individu sebagai pemimpin yang dituntut dalam agama perlu bersandarkan beberapa ciri terbaik.

Ia termasuk orang yang akan dilantik perlu mempunyai ilmu pengetahuan luas, berkemampuan tubuh badan dan fizikal serta berintegriti tinggi seperti dicerminkan menerusi peribadi Nabi Musa, Nabi Yusuf dan Panglima Talut ketikamereka mula diberikan tanggungjawab.

"Walaupun kita diberi kebebasan dalam memilih pemimpin, kita diwajibkan mengangkat mereka yang berilmu, berintegriti dan mampu membawa kesejahteraan kepada agama, bangsa serta negara," menurut teks yang dimuat naik di laman web rasmi JAIS.

Menyentuh adab ketika berkempen, Islam menekankan soal akhlak walaupun terhadap musuh dalam peperangan, apatah lagi dalam persaingan ketika pemilihan secara demokrasi.

Sistem demokrasi itu diwujudkan supaya manusia bersaing mendapatkan kuasa secara aman, tanpa beradu tenaga dan senjata, selain menerusi penyediaan ruang berhujah serta menunjukkan manifesto masing-masing.

"Justeru, kita hendaklah menjaga adab-adab kesopanan dalam berkempen. Jangan kerana sokongan kepada seseorang itu atau kumpulannya mencetuskan permusuhan dan saling tidak bertegur sapa.

"Usah kita menipu atau memfitnah, membuat provokasi, melemparkan kata-kata kesat, menyinggung peribadi seseorang dan sebagainya dalam berkempen kerana ia bertentangan dengan sifat jujur seorang pemimpin.

"Walaupun perkara ini dipandang remeh, namun ia adalah dosa berat di sisi Allah seperti firmannya dalam surah al-Nur ayat 15," menurut teks berkenaan.

Berita Harian X