Ahad, 29 April 2018 | 1:41pm
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir beramah mesra dengan atlet paralimpik yang menyertai Janamanjung Fellowship Ride (JMFR) 2018 anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Teluk Batik. - Foto Muhaizan Yahya
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir beramah mesra dengan atlet paralimpik yang menyertai Janamanjung Fellowship Ride (JMFR) 2018 anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Teluk Batik. - Foto Muhaizan Yahya

Kerajaan negeri komited perkenal Perak kepada dunia

LUMUT: Kerajaan negeri sentiasa komited memperkenalkan Perak di peringkat antarabangsa menerusi penganjuran pelbagai program membabitkan penyertaan peserta luar.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, penganjuran program berkapasiti besar seperti sukan dan persidangan menjadi landasan dalam proses 'pengantarabangsaan' Perak iaitu memperkenalkan negeri itu kepada dunia.

"Kita sudah mengenalpasti beberapa bidang untuk diperkenalkan sebagai contoh dalam bidang sukan dan persidangan besar.

"Pada masa sama, kita juga sudah pun menjadikannya, sebagai contoh penganjuran program Dialog Pangkor," katanya selepas pelepasan acara berbasikal Janamanjung Fellowship Ride' (JMFR) 2018 di Teluk Batik, di sini, hari ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir melepaskan peserta Janamanjung Fellowship Ride (JMFR) 2018 anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Taman Awam Teluk Batik. - Foto Muhaizan Yahya
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir melepaskan peserta Janamanjung Fellowship Ride (JMFR) 2018 anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Taman Awam Teluk Batik. - Foto Muhaizan Yahya

Zambry berkata menerusi program seperti acara berbasikal itu dan beberapa program lain, ia turut membantu merancakkan lagi perkembangan industri pelancongan domestik negeri berkenaan.

"Program seperti ini (menjadikan) lebih ramai pelancong yang datang dari luar Perak dan daerah Manjung adalah satu daripada destinasi utama pelancongan domestik.

"Malah, dengan pengisytiharan Pangkor sebagai pulau bebas cukai sudah tentu turut memberi manfaat kepada kawasan sekitarnya dan pasti akan berlaku pertambahan kehadiran pengunjung yang mendadak," katanya.

Dalam pada itu, Zambry yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Lumut dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor, menasihatkan mereka yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di negeri ini untuk tidak dipengaruhi emosi hingga membawa perkara tidak baik.

"Jika (terlalu) mengikut emosi ia akan membawa (perkara) tidak baik kepada negeri dan negara.

"Seperti biasa dalam suasana demam pilihan raya ini kadang-kadang kita dibawa faktor emosi, namun saya seru supaya kita berada dalam suasana tenang sepanjang masa serta berfikir secara rasional.

"Pendekatan (yang digunakan) BN adalah turun ke bawah (lapangan) dan tidak menggunakan pendekatan yang terlalu beremosi dengan hanya menghentam sana sini," katanya.

Berita Harian X