Sabtu, 28 April 2018 | 8:02pm
ANGGOTA Unit Tindakan Khas pada perbarisan sambutan Hari Polis Ke-211 2018 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur.
ANGGOTA Unit Tindakan Khas pada perbarisan sambutan Hari Polis Ke-211 2018 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur.

Persepsi rasa lebih selamat, terjamin meningkat

KUALA LUMPUR: Lebih selamat dan rasa terjamin. Itu antara persepsi orang ramai terhadap aspek keselamatan dalam negara pada masa kini.

Keadaan ini boleh dilihat apabila laporan Program Transformasi Negara (NTP) 2017 menerusi Petunjuk Persepsi Jenayah (PCI) bagi tempoh 2016 hingga 2017 menunjukkan persepsi rasa takut orang awam sudah menurun hingga 40 peratus.

Ia juga didorong oleh penurunan kadar indeks jenayah antara 2010 hingga 2017 yang mencatatkan penurunan hingga 53 peratus.

Malah, boleh dikatakan rakyat negara ini mampu menarik nafas lega berikutan keselamatan diri serta keluarga mereka terutama ketika berada di tempat awam lebih terjamin ekoran usaha kerajaan mewujudkan persekitaran lebih selamat.

Ahli Majlis Tertinggi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata, persepsi rasa takut yang menunjukkan penurunan ini bukan saja baik dari aspek keselamatan serta kesejahteraan hidup masyarakat di negara ini, sebaliknya mampu memberi keuntungan kepada negara.

Beliau berkata, ia mampu menarik pelabur serta pelancong untuk ke negara ini sekali gus mampu menarik masuk aliran wang asing.

"Apabila pelancong serta pelabur rasa selamat, maka sektor pelancongan, perhotelan dan hospitaliti negara ini akan berkembang.

"Ia sekali gus menjadikan sektor perniagaan turut berkembang dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat di negara ini," katanya.

Lam Thye berkata, persepsi rasa selamat ini penting berikutan ia menjadi kayu pengukur kepada aspek sosio-kehidupan masyarakat.

Katanya, usaha menjadikan negara ini selamat untuk didiami bukan saja terletak pada bahu pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama dalam kalangan masyarakat.

"Adalah penting bagi masyarakat untuk menjadi mata serta telinga pihak berkuasa terutama dalam mengawasi kawasan kejiranan mereka bebas jenayah.

"Jika penduduk dapat bersatu padu dan bekerjasama dengan pihak berkuasa, pastinya sesiapa pun takut untuk melakukan jenayah," katanya.

Dalam usaha memastikan aspek keselamatan menjadi teras memacu keharmonian negara, kerajaan menerusi NTP turut melaksanakan pelbagai program seperti polis bersama komuniti, Program Penguatkuasaan Komuniti (CEP), pemodenan pasukan polis selain pengukuhan kawalan keselamatan di sempadan negara.

Menerusi program polis bersama komuniti, sepanjang 2017, sebanyak 1,687 program sudah dijalankan dan sebanyak 64 kawasan berisiko tinggi kini diletakkan dalam senarai Program Penguatkuasaan Komuniti (CEP).

Bagi memantapkan lagi usaha meningkatkan persepsi rasa selamat dalam masyarakat, sepanjang tahun ini juga sebanyak 22 balai polis membabitkan 11,500 warga PDRM sekitar ibu negara akan terbabit dalam program Kepolisan Moden.

Berita Harian X