Selasa, 24 April 2018 | 10:42pm

Timbalan Ketua Menteri, exco antara digugurkan PKR

GEORGETOWN: Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang bersama enam daripada 10 penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang daripada PKR, digugurkan daripada mempertahankan kerusi masing-masing pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini.

Selain Datuk Mohd Rashid Hasnon, turut digugurkan ialah EXCO Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Low Choo Kiang.

Selain itu, Timbalan Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Maktar Shapee yang menyandang DUN Sungai Bakap; penyandang DUN Kebun Bungah, Cheah Kah Peng; Ong Chin Wen (penyandang DUN Bukit Tengah) dan Dr T Jayabalan (penyandang DUN Batu Uban) turut digugurkan.

Mohd Rashid dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook (FB) rasminya, berkata beliau akur kepada ketetapan parti yang mahu menukarnya untuk bertanding di kerusi Parlimen Batu Pahat, Johor.

"Saya ucapkan terima kasih kepada teman, jentera dan rakyat Pulau Pinang yang sentiasa bersama dan menyokong kepimpinan saya semasa menjawat jawatan Timbalan Ketua Menteri I," katanya yang sebelum ini menyandang DUN Pantai Jerejak di sini, hari ini.

Abdul Malik ketika dihubungi turut akur kepada ketetapan kepemimpinan tertinggi PKR tidak menamakannya sebagai calon pada PRU-14, selain menegaskan menerimanya dengan hati terbuka.

"Saya akan teruskan perjuangan menegakkan keadilan dan mara ke hadapan untuk memenangkan DUN Batu Maung dan Parlimen Bayan Baru bagi menubuhkan kerajaan yang kuat demi masa hadapan negara," katanya.

Bagaimanapun, usaha NSTP mendapatkan reaksi Choo Kiang, Maktar, Kah Peng, Chin Wen dan Jayabalan tidak berjaya selepas semua mereka gagal dihubungi.

Antara calon yang dikekalkan ialah Timbalan Ketua AMK merangkap EXCO Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri, Dr Afif Bahardin; penyandang DUN Penanti, Dr Norlela Ariffin dan Lee Khai Loon (Machang Bubuk).

Terdahulu, Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam laman FB rasminya, mendedahkan senarai calon daripada parti itu yang akan bertanding pada PRU-14.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, dicalonkan untuk Parlimen Permatang Pauh; manakala Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman di Parlimen Nibong Tebal; Sim Tze Tzin (Parlimen Bayan Baru) dan Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Parlimen Balik Pulau).

Selain itu, Datuk Ahmad Zaki Yuddin Ahmad Rahmad dicalonkan di DUN Pinang Tunggal; Gooi Hsiao-Leung (DUN Bukit Tengah); Goh Choon Aik (DUN Bukit Tambun); Dr Amar Pritpal Abdullah (DUN Sungai Bakap) dan Zulkifli Ibrahim (DUN Sungai Acheh).

Ong Khan Lee pula dicalonkan di DUN Kebun Bunga; A Aramugam (DUN Batu Uban); Datuk Saifuddin Nasution (DUN Pantai Jerejak); Datuk Abdul Halim Hussain (DUN Batu Maung) dan Mohd Tuah Ismail (DUN Pulau Betong).

Berita Harian X